KUALA LUMPUR – Ketika kerajaan sibuk merangka dan membentang seterusnya akan melaksanakan RMK-13, mengawal kos sara hidup dan menarik pelaburan, pembangkang memilih untuk mengheret negara ke kancah polemik perundangan yang memecah-belahkan rakyat.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan Waytha Moorthy yang di dukung oleh parti pembangkang PN termasuk Pas; Bersatu dan Pejuang mempersoalkan kelayakan Perdana Menteri selepas hampir tiga tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran negara Malaysia jelas bermotifkan politik, bukan untuk kepentingan rakyat dan negara.
Tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu lagi, proses pelantikan Perdana Menteri telah dibuat mengikut Perlembagaan, disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan tidak pernah dipertikai di Parlimen.
“Rakyat perlukan kestabilan dan tindakan segera dalam isu ekonomi, bukan drama politik bersiri yang mengalih perhatian negara daripada kerja membina masa depan.
“Pengampunan Diraja adalah kuasa mutlak di bawah Perlembagaan dan telah dilaksanakan mengikut proses sah, yang menghairankan saya sewaktu Waytha Moorthy menjadi Menteri di JPM tidak pula beliau membantah Anwar bertanding PRK Port Dickson dan beliau juga tidak membantah Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.
“Agaknya selepas doa daripada ulamak Pas menembusi telinga Waytha Moorthy baru terbuka hatinya.
“Cubaan mempertikai pengampunan ini hakikatnya adalah cubaan mencabar keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Saya menghormati kebebasan mahkamah, tetapi menegaskan bahawa tindakan saman ini bermotif politik untuk menggugat kestabilan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat dan disahkan oleh institusi diraja,” tegur Mahfuz.
Jelas beliau, negara memerlukan tenaga, buah fikiran, masa dan sumber untuk memacu ekonomi, membina infrastruktur dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“Pembangkang sepatutnya bertindak sebagai semak dan imbang dengan cadangan membina, bukan mencari peluang memecah-belahkan negara melalui isu yang telah lama selesai secara sah.
“Negara perlukan kestabilan untuk maju.
“Saman politik ini bukan demi rakyat.Ia hanya helah pembangkang untuk mengganggu perjalanan negara.Kerajaan tetap kekal fokus pada kerja, bukan drama politik bersiri,” bidas Mahfuz.



