Kerajaan tak ada alasan lagi, laksana Titah Addendum Najib sekarang! – Pas

KUALA LUMPUR – Titah Addendum mesti dilaksanakan tanpa berdolak dalih, gesa Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengingatkan bahawa Kerajaan Madani tidak ada alasan lagi apabila keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan Peguam Negara dan mengembalikan semula kes ke Mahkamah Tinggi adalah bukti paling jelas bahawa Titah Addendum berkenaan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sah, berperlembagaan dan diterima dalam proses perundangan negara.

“Cukup-cukuplah mempermainkan mandat raja.

“Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal kedaulatan undang-undang, kehormatan institusi diraja dan hak seorang warganegara untuk mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Kerajaan Madani wajib melaksanakan Titah Addendum. Sekarang,” desak wakil rakyat Pas itu.

Menurutnya, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah telah sebulat suara menolak hujah Peguam Negara.

“Ini jelas menafikan alasan kerajaan selama ini bahawa pelaksanaan titah tertangguh kerana kononnya kes masih berjalan di mahkamah.

“Jika Perdana Menteri benar-benar jujur dan berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan, beliau sepatutnya sudah lama mengarahkan pelaksanaan Titah Addendum.

“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya kerajaan terus berdolak dalik, memanjangkan drama perundangan dan cuba mengaburi mata rakyat,” kata Fadhli.

Kini katanya, lebih menyakitkan, Najib pula akan berdepan perbicaraan gag order yang difailkan oleh Peguam Negara.

“Bila perbicaraan sebenar akan berlangsung masih tidak diketahui. Yang pasti, keadilan terus ditangguhkan.

“Rakyat, khususnya ahli dan pemimpin Umno, wajar mempersoalkan motif sebenar di sebalik kegagalan Kerajaan Madani melaksanakan titah ini.

“Siapa sebenarnya yang menghalang dan siapa yang berselindung di sebalik Perdana Menteri? soal beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat