KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tegas mengekang budaya buli dengan melantik warden-warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) secara lantikan sepenuh masa dari kalangan bekas-bekas polis dan tentera
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pelantikan ini merupakan inisiatif terbaru MARA untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang disamping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah beliau sebut beberapa bulan lalu.
“Tegas pada prinsip, hikmah pada pendekatan. Dengar sebelum menghukum, nasihat sebelum menegur, memulih sebelum mendisiplin”. Pagi ini saya bertemu dengan kumpulan pertama warden-warden MRSM lantikan sepenuh masa dari kalangan bekas-bekas polis dan tentera untuk menyampaikan amanat sebelum mereka memulakan tugas di dua MRSM iaitu MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau bermula Isnin ini.
“Warden-warden yang dipilih ini sudah melalui siri-siri tapisan termasuk sesi temu ramah komprehensif untuk memastikan pesara-pesara dari kalangan anggota beruniform ini benar-benar memenuhi kriteria yang digariskan oleh MARA.
“Dalam amanat saya kepada mereka sebelum mereka memulakan tugasan minggu ini, antara lainnya saya mengingatkan bahawa “asrama MRSM” ialah “rumah kedua” anak-anak MRSM. Di sinilah mereka belajar tentang tertib dan adab hidup bermasyarakat, tentang mengurus masa, tentang amanah dan tanggungjawab,” ujarnya.
Justeru kata Asyraf, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian; warden ialah pendidik watak ibu bapa kedua yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina, dan kasih sayang dibudayakan.
“Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih, dan adil.
“Moga-moga MRSM boleh menjadi model sekolah berasrama di peringkat nasional: selamat, berdisiplin, beradab, dan membahagiakan,” kata Asyraf.



