Ratu Rock Malaysia, Ella, sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam industri muzik tanah air apabila berjaya mencipta kejayaan besar menerusi konsert dua hari berturut-turut di Plenary Hall, KLCC pada 9 dan 11 Ogos 2024. Dengan kehadiran seramai 6,000 peminat yang memenuhi dewan pada kedua-dua malam, konsert ini menjadi satu lagi tanda aras buat Ella yang terus mencipta sejarah dalam karier seninya yang gemilang.
Konsert yang diberi nama ‘JILID ROCKESTRA ELLA: ROCKERS JUGA MANUSIA’ itu bukan sahaja menyajikan peminat dengan lebih daripada 30 lagu hits Ella, malah ia turut menampilkan elemen-elemen yang memperkukuh kedudukan Ella sebagai ikon rock tanah air. Salah satu daripada kelainan yang ditampilkan dalam konsert ini adalah gabungan muzik rock dan orkestra yang dipimpin oleh pengarah muzik tersohor, Dato’ Acis. Kejayaan ini menunjukkan betapa Ella masih relevan dan terus memikat hati peminat-peminatnya, walaupun sudah lebih tiga dekad dalam industri muzik.
Setiap malam konsert menyaksikan kemunculan artis undangan yang berbeza, di mana Haziq Rosebi memeriahkan pentas pada malam pertama, manakala Dayang Nurfaizah menjadi tarikan utama pada malam kedua. Kombinasi ini memberikan dinamika yang berbeza kepada persembahan Ella, di mana kolaborasi bersama kedua-dua artis ini berjaya memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu klasik yang disampaikan.
“Saya amat bersyukur dan terharu dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua peminat yang hadir. Dua malam yang luar biasa ini menjadi satu kenangan manis dalam perjalanan karier saya,” ujar Ella selepas konsert tersebut.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, ‘JILID ROCKESTRA ELLA: ROCKERS JUGA MANUSIA’ juga menonjolkan tema solidariti yang kuat. Dengan tema warna hitam, putih, merah, dan hijau, Ella menzahirkan sokongan padu kepada rakyat Palestin, menyentuh hati penonton dengan mesej kemanusiaan yang disampaikan melalui muzik.
Dengan kejayaan konsert di Kuala Lumpur ini, Ella kini bersedia untuk melanjutkan siri konsert ini ke Singapura pada 12 Oktober 2024 di The Star Theatre. Berdasarkan rekod kejayaan konsertnya di Singapura sebelum ini, ramai menjangkakan bahawa tiket akan habis terjual dalam masa yang singkat.
“Kami sangat bangga dengan kejayaan Ella dan sambutan hangat yang diterima. Konsert dua hari di KLCC ini bukan sahaja menunjukkan betapa besar sokongan peminat, tetapi juga membuktikan bahawa gabungan rock dan orkestra adalah satu konsep yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat muzik,” kata Rohit Rampal, Pengasas & Ketua Pengarah Eksekutif, Hitman Group.
Ella kini dilihat bukan sahaja sebagai ikon muzik, tetapi juga sebagai simbol perpaduan dan kekuatan dalam industri muzik tanah air. Dengan kejayaan konsert di KLCC ini, jelas bahawa Ella masih di hati peminat dan terus unggul sebagai Ratu Rock Negara.