MELAKA – Tanggungjawab sebagai ibu kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun tidak menghalang calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, mempergiat kempen mendekati pengundi.
Farzana Hayani, 26, yang mesra disapa Nana berkata, rutin hariannya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula seawal 5.30 pagi dan kadangkala hanya berakhir apabila beliau tiba di rumah sekitar 2 pagi keesokan harinya.
Menurutnya, jadual itu lazimnya dimulakan dengan solat subuh di masjid atau surau sekitar Kelebang sebelum diteruskan dengan program ziarah kasih, tinjauan mesra, aktiviti sukan, program keagamaan dan ceramah kelompok.
“Setakat ini, saya berpuas hati dengan gerak kerja yang telah dirangka dan dilaksanakan. Saya anggarkan kira-kira 50 peratus daripada penduduk dalam DUN Kelebang telah saya dekati.
“Setiap hari, saya akan mula bergerak seawal 5.30 pagi dan tiba di rumah kira-kira 2 pagi esoknya bagi memastikan jadual yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Bernama, malam tadi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu itu berkata, pendekatan berkenaan dilaksanakan secara konsisten sejak kempen bermula bagi membolehkannya menyantuni seramai mungkin penduduk.
Beliau mengakui jadual padat kadangkala menyebabkan keletihan, namun sambutan positif masyarakat menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kempen.
Dalam pertemuan dengan penduduk, Farzana Hayani berkata, antara perkara yang banyak dibangkitkan ialah masalah banjir, kos sara hidup, peluang pekerjaan anak muda, kebajikan ibu tunggal dan isu nelayan.
“Saya ambil maklum semua isu yang disuarakan mereka dan akan membawanya ke peringkat lebih tinggi sekiranya rakyat DUN Kelebang memberi saya mandat pada PRN kali ini,” katanya.
Beliau turut menyebut bantuan kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan kepada golongan yang berdaftar dalam eKasih sebagai antara usaha membantu rakyat yang memerlukan.
Farzana Hayani berdepan pertandingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong; calon Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; dan calon Bersama, Young Jie Yu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.


