Ada karya yang dicipta untuk menghiburkan, dan ada juga karya yang lahir daripada perjalanan hidup sehingga setiap bait liriknya mempunyai jiwa yang tersendiri. Begitulah yang cuba diterjemahkan menerusi single terbaru Nas Adila berjudul Bidasari Melawan Malam, sebuah lagu yang menandakan kepulangannya ke arena muzik selepas hampir sedekad tidak tampil dengan karya baru. Lebih istimewa, karya tersebut bukan sekadar menjadi simbol kemunculannya semula, malah mengangkat perjalanan sebenar penyanyi itu dalam melawan kanser sehingga berjaya bergelar perjuang kanser.
Kemunculan semula penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi Akademi Fantasia musim ketujuh itu hadir dengan pendekatan yang jauh berbeza berbanding karya-karyanya sebelum ini. Jika dahulu beliau lebih dikenali dengan lagu-lagu cinta dan pop kontemporari, kali ini Nas memilih mempertaruhkan sebuah balada yang penuh emosi, disulam dengan bahasa sastera yang indah serta mesej yang cukup mendalam mengenai kekuatan, harapan dan keberanian meneruskan kehidupan.
Di sebalik penghasilan lagu tersebut ialah komposer dan penerbit, Wan Nombar, yang terpanggil untuk menghasilkan sebuah karya selepas mendengar sendiri kisah perjalanan hidup Nas. Pada awalnya, mereka sebenarnya merancang menghasilkan lagu dengan tema lain. Namun selepas beberapa sesi perbincangan, Wan Nombar merasakan kisah yang dilalui Nas jauh lebih bermakna untuk diterjemahkan dalam bentuk muzik.
Menurut Wan Nombar, beliau mahu menghasilkan sebuah lagu yang bukan sekadar menceritakan kisah Nas, sebaliknya sebuah karya yang mampu memberi kekuatan kepada sesiapa sahaja yang sedang berdepan ujian hidup.
“Lagu ini memang diinspirasikan daripada perjalanan hidup Nas, tetapi kami tidak mahu ia hanya menjadi lagu tentang seorang individu. Kami mahu mesejnya lebih luas supaya setiap pendengar boleh mengaitkan lagu ini dengan perjuangan mereka sendiri,” katanya.
Bagi merealisasikan idea tersebut, Wan Nombar bergandingan dengan penulis lirik yang menggunakan nama pena Kekasih Hati. Mereka sepakat memilih pendekatan yang berbeza daripada kebanyakan lagu masa kini dengan mengetengahkan bahasa sastera yang kaya dengan perlambangan dan metafora.
Menurut Kekasih Hati, pemilihan judul Bidasari Melawan Malam sendiri mempunyai maksud yang cukup mendalam.
“Bidasari” melambangkan seorang wanita yang lembut tutur dan peribadinya, namun memiliki semangat yang luar biasa ketika berdepan ujian kehidupan. Sementara “Melawan Malam” pula menjadi simbol kepada perjuangan menentang saat-saat paling gelap dalam kehidupan. “Malam” bukan sekadar merujuk kepada waktu, tetapi membawa makna pelbagai dugaan seperti penyakit, kehilangan, kekecewaan, kegagalan atau apa sahaja cabaran yang hadir tanpa diduga.
Keunikan lagu ini terletak pada cara penceritaannya. Walaupun diinspirasikan daripada pengalaman Nas melawan kanser, perkataan “kanser” langsung tidak disebut dalam lirik. Sebaliknya, setiap bait disusun menggunakan bahasa yang puitis supaya mesejnya bersifat lebih universal dan boleh dihayati oleh semua pendengar.

Antara rangkap yang menjadi perhatian ialah ungkapan “Aku Melur Disirami Bara” yang menjadi perlambangan kepada kesakitan dan keperitan yang dilalui ketika berjuang menghadapi ujian hidup. Manakala frasa “Alun Dujana” pula membawa maksud dugaan yang datang secara diam-diam sebelum akhirnya mengubah seluruh perjalanan kehidupan seseorang.
Menurut Kekasih Hati lagi, penggunaan bahasa kiasan itu sengaja dipilih supaya lagu tersebut tidak hanya dikaitkan dengan perjuangan melawan kanser. Sebaliknya, ia boleh menjadi teman kepada sesiapa sahaja yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran kehidupan, sama ada kehilangan orang tersayang, kegagalan dalam kerjaya, konflik rumah tangga atau perjuangan mencari kekuatan untuk bangkit semula.
Dari sudut susunan muzik pula, Wan Nombar memilih melodi balada yang perlahan dan mendayu agar setiap bait lirik dapat dihayati dengan lebih mendalam. Menurutnya, lirik yang menggunakan bahasa sastera memerlukan ruang untuk “bernafas”, sekali gus membolehkan pendengar benar-benar memahami maksud yang ingin disampaikan.
Bagi Nas Adila, Bidasari Melawan Malam bukan sekadar sebuah single terbaru, tetapi sebuah karya yang cukup dekat dengan dirinya. Selepas hampir 10 tahun tidak menghasilkan lagu baru, beliau mengakui tidak pernah menyangka masih diberi peluang untuk kembali dengan sebuah karya yang begitu bermakna.
“Pada mulanya saya rasa lirik lagu ini agak berat kerana menggunakan bahasa yang puitis. Tetapi apabila saya memahami maksud di sebalik setiap rangkap, saya semakin jatuh cinta dengan lagu ini. Saya percaya masih ramai yang merindui lagu-lagu yang mempunyai nilai sastera seperti ini,” katanya.
Nas berkata, beliau tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi terhadap lagu tersebut. Apa yang lebih penting baginya ialah mesej yang ingin disampaikan dapat menyentuh hati pendengar.
“Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik. Kalau ia mampu memberi semangat kepada seseorang yang sedang melalui ujian hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya.”
Kemunculan semula ini juga membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan penyanyi itu. Pada 2023, Nas disahkan menghidap kanser tahap tiga, sekali gus mengubah hampir keseluruhan perjalanan hidupnya. Beliau menjalani pelbagai rawatan termasuk pembedahan, kemoterapi dan radioterapi, namun tidak pernah membiarkan ujian tersebut memadamkan minatnya terhadap dunia seni.
Sepanjang menjalani rawatan, Nas terus aktif sebagai jurulatih Zumba dan menjadikan muzik sebagai terapi untuk menguatkan semangatnya. Baginya, nyanyian dan senaman menjadi antara sumber kekuatan untuk terus berfikiran positif sepanjang melalui detik-detik sukar itu.
Selepas menjalani rawatan dan proses pemulihan selama beberapa tahun, doktor akhirnya mengisytiharkan Nas pulih sepenuhnya pada 2025, sekali gus menjadikan beliau seorang Perjuang kanser.
Atas sebab itu, Bidasari Melawan Malam membawa makna yang jauh lebih besar daripada sebuah lagu comeback. Ia menjadi catatan perjalanan seorang wanita yang pernah melalui malam paling gelap dalam hidupnya sebelum kembali berdiri dengan penuh keyakinan.
Sebagai pelengkap kepada perjalanan yang penuh makna ini, Bidasari Melawan Malam bersama muzik videonya dijangka menemui peminat pada penghujung bulan ini menerusi semua platform digital. Dengan harapan setiap bait lirik dan visual yang dipersembahkan mampu menyentuh hati pendengar, Nas Adila berharap karya tersebut bukan sekadar menjadi simbol kemunculannya semula dalam industri muzik, malah menjadi teman dan sumber kekuatan kepada sesiapa sahaja yang sedang berjuang melawan ‘malam’ dalam kehidupan mereka.


