MIFFest umum pemenang tiga filem pendek

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiga filem pendek diumumkan sebagai pemenang pertandingan Born of the Galaxy Stars menerusi Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-5, kelmarin.

Filem Where Time Stood Still arahan Mary Grace Liew diangkat sebagai filem terbaik, selain BE ME (WenX) dan So, What is the Definition of Love? (Chu Ka Yoong).

Pertandingan Born of the Galaxy Stars dianjurkan MIFFest dengan kerjasama Samsung Electronic Malaysia berdasarkan kiriman 22 peserta yang diberikan Samsung Galaxy S22 Ultra untuk merakam cerita dalam bentuk filem pendek lengkap, April lalu.

Tiga pemenang diumumkan pada majlis perasmian yang berlangsung di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur, kelmarin.

Acara itu melihat MIFFest dan Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2022 kembali dianjurkan secara fizikal, termasuk tayangan filem dari pelbagai negara di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur selama lima hari.

Memilih filem Edge of the World sebagai filem pembuka, ia adalah karya sentuhan pengarah Hollywood, Michael Haussman, yang turut menjalani penggambaran di Sarawak dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Naskhah Edge of the World mengangkat kisah Kapten James Brooke yang membawa penduduk Malaysia keluar daripada penjajahan British.

Tidak hanya Haussman, penerbit filem, Josie Ho turut hadir membuat penampilan istimewa bagi menyokong acara perasmian.

 

Antara penggiat seni tempatan dan antarabangsa yang hadir memeriahkan majlis perasmian MIFFest berlangsung di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur, kelmarin.

 

Dua pembikin filem itu menzahirkan perasaan gembira dapat membawa karya mereka ke Malaysia dengan mempersembahkan bakat tempatan, termasuk aktor dan duta festival, Bront Palarae, Shaheizy Sam dan beberapa pelakon lagi.

Pengerusi MIFFest dan MGGA 2022, Joanne Goh mengucapkan terima kasih atas kehadiran tetamu.

“Kami benar-benar teruja. Kami menghargai pertemuan semula karyawan hari ini selepas menempuh masa sukar ketika era pandemik COVID-19,” katanya.

Acara perasmian itu dihadiri ramai pembikin filem termasuk Presiden MGGA 2022, Christine Hakim, pelakon dari Taiwan, Wu Ke-Xi dan penerbit, Rob Allyn dan Conroy Chan.

Yang turut hadir, pembikin filem tempatan yang juga juri pertandingan filem pendek, Jasmine Suraya dan Reuben Kang, selain juri MGGA 2022, Chong Keat Aun dan Ho Wi Ding.

Selain itu, acara perasmian dimeriahkan dengan kehadiran tetamu seperti Nam Ron, Megat Shahrizal, Susan Lankester, Liew Seng Tat, Woo Ming Jin, Helmi Yusof, Siti Khadijah, Joey Leong, Debbie Goh, Angela Chan, Daniella Sya, Daphne Low dan ramai lagi.

MIFFest berlangsung di Dadi Cinema bermula kelmarin hingga 15 Julai ini. Tiket tayangan filem boleh didapati menerusi laman web Dadi Cinema.

MGGA 2022 pula bakal berlangsung di Istana Budaya pada 16 Julai ini. Ia disiarkan secara langsung di Unifi TV, Viu TV HK (siaran tertangguh di Hong Kong) dan Facebook MIFFest. Maklumat lanjut mengenai MIFFest layari miffest.com.my.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat