Johor Benarkan Saf Solat Di Masjid, Surau Dirapatkan Bermula Hari Ini

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Jemaah masjid dan surau di negeri ini dibenar merapatkan saf mereka bagi aktiviti solat berjemaah berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat berjemaah itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Beliau berkata, walaupun dibenarkan solat berjemaah dengan cara merapatkan saf, setiap jemaah yang hadir digalakkan membawa sejadah sendiri.

“SOP itu bagaimanapun masih menetapkan supaya jemaah wajib memakai pelitup muka ketika berada di dalam ruang masjid dan surau manakala bersalaman antara jemaah tidak digalakkan.

“Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti Kelas Pengajian Takmir, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Majlis Zikir dan seumpamanya adalah dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik.

Ketika itu, jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.

Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah Zohor dan kuliah Jumaat, kelas takmir, kelas al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir, majlis selawat, wirid dan tarekat dibenarkan tidak melebihi dua jam.

Mohd. Fared menambah, segala aktiviti memasak dan jamuan adalah dibenarkan dalam kawasan masjid dan surau termasuk aktiviti yang melibatkan bermalam turut dibenarkan.

Katanya, kelonggaran SOP itu turut melibatkan tiada lagi pemeriksaan suhu badan dan tidak ada had umur jemaah hadir ke masjid dan surau. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat