EAC Ambil Langkah Pastikan Ekosistem Sekuriti Makanan Lebih Menyeluruh – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikannya memutuskan untuk mengambil beberapa langkah bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan negara secara lebih menyeluruh.

Menurut beliau, antara lain langkah itu melibatkan kerjasama kerajaan dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri, kerjasama awam dan swasta serta jaminan pasaran bagi hasil pertanian diusahakan peladang dan petani.

Mengulas lebih lanjut, Perdana menteri berkata, mesyuarat EAC bersetuju memperkenalkan harga siling bergerak bergantung kepada faktor harga input, seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan memerlukan seperti diumumkan sebelum ini.

Langkah seterusnya menurut beliau lagi, adalah memperluaskan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

“Koordinasi ini bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin. Sebagai contoh, bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan yang berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan.

“Ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan dengan itu juga, beliau berkata, kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri akan dipertingkatkan dalam usaha menambah keluasan tanah bagi kegunaan pertanian untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan menteri besar dan ketua menteri dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi langkah ketiga, katanya, adalah meningkatkan kerjasama awam dan swasta yang fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian yang akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf.

“Seterusnya, memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran seperti menggalakkan ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

“Kerajaan, melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), akan terus berusaha untuk memodenkan peraturan-peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjak produktiviti dan daya saing negara. Mesyuarat telah bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua Kementerian, Agensi Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Persatuan Perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik dalam mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,593FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat