KUALA LUMPUR – Bukan Pas yang membunuh Umno jika bersama-sama dalam satu gabungan, seperti yang diuar-uarkan.
Sebaliknya, Umno yang sedang membunuh dirinya sendiri, laksana kelekatu yang terjun ke dalam api kerana tertarik kepada cahaya api yang akhirnya membakar diri, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Pas bersama Umno dan kumpulan Islam yang lain telah berjaya meletakkan Islam, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, serta bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa yang sama, konsep kebebasan beragama turut dilaksanakan bagi penganut agama bukan Islam.
“Sepatutnya, Umno sebagai parti terbesar dalam kerajaan dengan majoriti yang besar berperanan memperkasakan Islam dan kedudukan Melayu serta Bumiputera. Sebaliknya, perkara ini tidak dilaksanakan dengan berani, sehingga menyebabkan berlaku perselisihan yang sengit antara Umno dengan Pas dan membawa kepada berlakunya perpecahan dalam kalangan Melayu Islam hanya kerana berbeza pendekatan.
“Akhirnya, Umno mula dijangkiti penyakit gila kepada harta dan jawatan. Amalan politik wang dan rasuah semakin berleluasa, sehingga membarah dalam pemilihan kepimpinan parti. Lalu akhirnya, Umno kecundang dalam pilihan raya umum yang mutakhir,” dakwa Hadi dalam catatan Minda Presiden Pas pada Khamis.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, terdapat kalangan kepimpinan Umno yang memilih untuk menjadi parti yang menumpang Pakatan Harapan (PH). Sedangkan PH didominasi oleh DAP iaitu sebuah parti yang membawa konsep sekular yang meminggirkan Islam serta kepimpinan Melayu dan bumiputera.
“Kononnya, tindakan ini bertujuan untuk menguatkan semula Umno, tetapi hakikatnya lebih kepada usaha menyelamatkan diri daripada terjerat dalam kes mega rasuah dan pelbagai isu yang lain lagi.
“Terkini, pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng, dalam satu majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mengeluarkan kenyataan bahawa, “DAP tidak pernah dikuasai Umno semasa kita menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila kita berada dalam kerajaan.” Kenyataan ini memperlihatkan bahawa Umno yang kini mencium DAP, ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
“Situasi ini menunjukkan bahawa parti-parti Melayu-Islam seperti Parti Amanah, PKR, dan Umno dalam PH laksana mangsa yang dibelit oleh ular besar, sehingga letih lalu akhirnya ditelan sedikit demi sedikit.
“Parti Amanah dan pemimpin Melayu dalam DAP sekadar menjadi suara yang berteriak bagi pihak DAP, sementara PKR dan Umno (UMDAP) terpukau dengan belitan pangkat dan projek mega yang menidurkan. Mereka sanggup bersama DAP asalkan diberikan jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, atau Exco, malah ada yang menagih projek mega. Kesemuanya seolah-olah menjadi semut yang membunuh diri sendiri dalam gula yang manis,” bidas Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu lagi.
Sementara itu beliau menitipkan pesan bahawa Allah telah menetapkan sempadan dalam bekerjasama dengan kalangan bukan Islam, iaitu hanya dengan mereka yang tidak bersikap ekstrem, serta menolak pihak yang menentang Islam dan cuba menyingkirkan bangsa Melayu serta Bumiputera.
“Oleh itu, kita mengajak mereka yang telah terlanjur agar kembali ke pangkal jalan,” seru Hadi.