Oleh Zihan Zari
LUMUT – Sebuah kapal layar, Meridian of Sydney, milik warganegara Australia yang mengalami masalah kerosakan jentera utama dipercayai telah berhanyut selama empat hari berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan barat laut Pulau Perak.
TLDM dalam kenyataannya berkata Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 (PUSOP MAWILLA 3) telah menerima maklumat pada jam 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.
“TLDM segera bertindak pantas menggerakkan Kapal Diraja (KD) Mahamiru untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,”kata kenyataan itu pada Rabu.
“KD Mahamiru tiba di lokasi pada jam 13.15 tengah hari telah mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar, menyebabkan ia tidak dapat berfungsi untuk meneruskan pelayaran.
“Seorang individu, Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal telah berada di laut sejak 8 Mac lalu, ”katanya.
“TLDM telah memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Kepten Kelvin Holly sebelum melaksanakan operasi menunda kapal layar Meridian of Sydney ke perairan Langkawi untuk diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya, ”katanya lagi.
“Kecekapan dan tahap profesionalisme warga TLDM melaksanakan operasi ini membuktikan tanggungjawab dan amanah yang digalas adalah fokus utama dalam memastikan keselamatan maritim serta berkeupayaan untuk bertindak pantas dalam sebarang keadaan kecemasan di perairan negara.
“Kejayaan ini juga memperkukuhkan peranan TLDM sebagai barisan hadapan dalam keselamatan di laut, selaras dengan misi utama memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara, ”ujarnya. – SUARA.TV