Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Bernadya, sekali lagi hadir ke Malaysia dengan jelajah terbarunya, “Untungnya, Untungnya”. Namun, jelajah ini bukan sekadar konsert biasa sebaliknya, Bernadya ingin mengajak peminatnya untuk meraikan keberuntungan-keberuntungan kecil dalam hidup yang sering kali tidak disedari.
Dua lokasi telah dipilih bagi menjayakan persembahan istimewa ini: Zepp Kuala Lumpur (13 Julai 2025) dan KDAC Hall, Kota Kinabalu (19 Julai 2025). Dengan kapasiti yang lebih besar berbanding jelajah sebelumnya, Bernadya dan pasukannya ingin memberikan pengalaman konsert yang lebih dekat, intim, tetapi tetap megah.
Dikenali dengan lirik yang puitis dan muzik yang menyentuh hati, Bernadya ingin menjadikan “Untungnya, Untungnya” lebih daripada sekadar persembahan pentas.
“Aku mahu konsert ini menjadi satu perayaan bersama, di mana kita semua boleh menghargai keberuntungan, walaupun sekecil mana pun,” ujar Bernadya.
Sebagai simbol kebahagiaan dan harapan, Bernadya turut mengajak peminat yang hadir untuk memakai pakaian berwarna cerah. “Aku mahu semua yang datang pulang dengan hati yang lebih ringan dan gembira,” tambahnya lagi.
Salah satu perkara yang paling dinantikan dalam jelajah ini ialah kunjungan pertama Bernadya ke Sabah, Malaysia. Dengan kerjasama Sembang Kari Entertainment, konsert ini bukan sahaja dijangka menjadi pengalaman istimewa buat peminat, tetapi juga mampu memberi impak kepada industri hiburan di Sabah.
Menurut Fuad Simim dari Sembang Kari Entertainment, “Kami mahu membawa pengalaman konsert yang berkualiti dan menjadi penanda aras bagi konsert-konsert lain pada masa akan datang. Kami sangat berbesar hati kerana dapat membawa Bernadya ke Sabah buat pertama kalinya.”
Untuk menjadikan konsert ini lebih istimewa, penyanyi Adrian Khalif akan tampil sebagai artis jemputan. Selain berduet dengan Bernadya dalam lagu “Asumsi”, Adrian juga akan membawa set persembahan khasnya sendiri, memberikan pengalaman yang lebih memukau buat penonton.
Tiket konsert “Untungnya, Untungnya” Bernadya Tour Malaysia 2025 akan mula dijual pada 15 Mac 2025 melalui www.myticketempire.com.
Untuk maklumat terkini, ikuti Instagram @juni_concert dan @bernadyaribka.
Lebih daripada sekadar konsert, “Untungnya, Untungnya” adalah satu perayaan kehidupan, di mana muzik dan momen-momen bermakna bertemu dalam satu malam yang tidak akan dilupakan.