KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengemukakan bukti tarikh beliau menerima tiga dos vaksin COVID-19 sekali gus menyanggah tuduhan beliau tidak divaksin sebelum menunaikan umrah.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu tampil menjawab tuduhan pendakwah bebas yang dikenali sebagai Abu Syafiq.

“Terdapat kekeliruan beberapa pihak menuduh saya tidak divaksin sebelum menunaikan umrah.

“Berikut adalah maklumat vaksinasi saya; dos pertama pada 24 Mac 2021; Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya; Vaksin diterima Pfizer.

“Manakala dos kedua diterima pada 14 April 2021; Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya; vaksin diterima Pfizer.

” Dos Penggalak 2 November 2021 di Pejabat Kesihatan Titiwangsa, vaksin Pfizer,” catat Tuan Ibrahim di Facebooknya pada Khamis.

Semalam, Abu Syafiq menempelak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad, kerana menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa jemaah yang tidak divaksinasi menunaikan umrah.

Abu Syafiq dalam satu hantaran video di laman media sosialnya berkata ahli Dewan Negara itu juga perlu berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Hal itu kerana, katanya, selain dia, terdapat juga individu dalam kerajaan yang turut menunaikan ibadah umrah itu namun tidak mendapatkan vaksin terbabit.

Menurut Abu Syafiq, mereka termasuk Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, hantaran Abu Syafiq di media sosial tular selepas dia memuat naik kenyataan kejayaannya ke Mekah dan membawa jemaah walaupun tidak menerima vaksin MM.

“Saya ingin menjawab menteri agama, Ustaz Idris Ahmad, kononnya nak siasat saya sebab saya tak vaksin MM (meningococal meningitis). Vaksin MM ini adalah vaksin yang dapat (buku) warna oren, warna kuning itu.

“Hati-hati buat kenyataan. Ada beza vaksin MM dengan vaksin yang lain.

“Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin PAS, orang yang bersama menteri agama sekarang bahkan Tuan Ibrahim menteri alam sekitar, beliau sewaktu banjir sebelum ini datang buat umrah tak ada vaksin MM,” dakwanya.

Abu Syafiq juga didakwa antara individu yang menolak vaksin Covid-19 berdasarkan beberapa kenyataan dan video dimuat naik di laman sosialnya.

Pada 6 Jan lalu, Kementerian Kesihatan mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sedang menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi sama ada mereka memiliki masalah kesihatan atau sebab lain.

Kredit foto: inforakyat