Kabinet Setuju Bantuan Membina Dan Membaik Pulih PRKM Dinaikkan – Mahdzir Khalid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menaikkan kadar bantuan seunit bagi pembinaan Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM).

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kenaikan itu akan membantu pihak kontraktor PRKM menangani isu peningkatan kos bahan binaan yang menyebabkan mereka gagal menyiapkan projek kerana tiada margin keuntungan kerja yang dilaksanakan.

Jelas beliau lagi, kenaikan itu sekaligus bakal memberikan manfaat kepada lebih 10 ribu kontraktor G1 yang terbabit dalam projek rumah PRKM yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.

“Kenaikan ini juga bagi mengekang kenaikan harga bahan binaan yang perlu ditanggung oleh pihak kontraktor yang merupakan isu meruncing, terutamanya sejak Mei 2022 yang lalu berdasarkan laporan indeks harga seunit bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kita berharap kontraktor PRKM boleh meneruskan projek mereka selepas ini kerana margin keuntungan dijamin mencukupi dengan nilai baharu yang diluluskan itu.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulan September 2022 kementeriannya di Wisma FELCRA di ibu negara hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi.

Jelas Mahdzir, harga baharu bagi projek Bina Baharu PRKM dinaikkan daripada RM56 ribu kepada RM66 ribu seunit di Semenanjung.

Manakala bagi Wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan dinaikkan daripada RM68 ribu kepada RM79 ribu seunit.

Bagi projek Baik Pulih rumah PRKM pula, dinaikkan pada kadar maksimum RM15 ribu di Semenanjung.

Manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, kadar maksimumnya adalah RM17 ribu.

Sebelum ini kadar program Baik Pulih rumah PRKM di Semenanjung adalah RM13 ribu dan RM15 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

KPLB sebelum ini telah meluluskan permohonan Bina Baharu rumah PRKM sebanyak 2,153 dan Baik Pulih sebanyak 11,892 buah rumah.

“Keputusan ini diambil sebagai langkah proaktif Kerajaan
bagi mengimbangi keperluan khususnya golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar untuk menerima bantuan rumah yang selamat dan selesa seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ambil cakna akan keperluan rakyat.”

Tambah Mahdzir, kenaikan nilai bantuan itu juga akan membolehkan kira-kira 13 ribu unit rumah PRKM dapat dilaksanakan di seluruh negara.

Ia sekaligus akan memberi manfaat kepada lebih 70 ribu isi rumah di luar bandar yang akan menerima bantuan rumah tersebut.

Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir menyampaikan replika kunci rumah PRKM yang telah siap dibina kepada 10 penerima bantuan perumahan itu.

Turut disampaikan, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Anak FELCRA 2021, Anugerah Peningkatan Produktiviti Estet Padi Musim 1/2022 dan Anugerah Khidmat Setia FELCRA.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat