JOHOR BAHRU – Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim tampil menyindir pengkritik selepas ramalan badan itu bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terbukti hampir menepati keputusan sebenar.
Menurut beliau, Ilham Centre menerima pelbagai kecaman selepas laporan kajiannya disiarkan media sehari sebelum pengundian, terutama daripada pihak yang tidak percaya BN mampu mencatat kemenangan besar.
Katanya, ramai lebih yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menewaskan BN berdasarkan sentimen yang tersebar di media sosial serta analisis beberapa pempengaruh politik.
Bagaimanapun, Mohd Yusri menegaskan dapatan Ilham Centre bukan dibuat berdasarkan kecenderungan politik, sebaliknya berpandukan disiplin metodologi, pengumpulan data lapangan serta analisis terhadap pemboleh ubah yang mempengaruhi tingkah laku pengundi.
“Saya dan pasukan turun ke segenap ceruk Johor, mencerap segala elemen, menganalisis setiap pemboleh ubah penentu dan mengawasi setiap pemboleh ubah pengganggu,” katanya menerusi satu catatan.
Beliau berkata, antara petunjuk utama yang membawa kepada jangkaan kemenangan besar BN ialah sokongan kukuh pengundi Melayu serta peralihan sebahagian undi masyarakat Cina yang sebelum ini lebih cenderung kepada PH.
Keputusan rasmi PRN Johor menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lapan kerusi.
Perikatan Nasional (PN), MUDA, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan parti-parti lain pula gagal memenangi sebarang kerusi.
Mohd Yusri berkata, tema utama dapatan Ilham Centre ialah BN akan menang besar melepasi majoriti dua pertiga, PH hanya mampu memenangi beberapa kerusi, manakala parti lain tidak berupaya mencatat kemenangan.
Ilham Centre sebelum itu menjangkakan BN memenangi sekurang-kurangnya 39 kerusi, sementara PH berpeluang menang di sembilan kawasan.
Keputusan rasmi menunjukkan ramalan itu hampir tepat apabila BN memperoleh 48 kerusi dan PH lapan kerusi.
Kajian berkenaan turut meramalkan PN tidak akan memenangi sebarang kerusi kerana kempen yang disifatkan bercelaru, manakala MUDA, BERSAMA dan parti lain tidak mempunyai peluang besar untuk mencatat kemenangan.
Mohd Yusri berkata, tiada kajian pilihan raya yang mampu menghasilkan ramalan tepat sepenuhnya, namun dapatan yang menepati tema utama dan hampir tepat bagi pecahan kecil dianggap berjaya menggambarkan keadaan sebenar.
Beliau turut menjelaskan perkongsian mengenai makanan dan perjalanannya sepanjang kajian hanyalah selingan untuk mengurangkan tekanan, sedangkan proses pengumpulan data tetap dilaksanakan secara sistematik dan empirikal.
“Bukan sebab kami bias kepada BN, tetapi data yang merumuskan begitu. Data tidak pandai menipu,” katanya.
Beliau juga tidak mengambil hati terhadap kecaman yang diterima dan menyifatkan ramalan pemenang pilihan raya hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kajian Ilham Centre mengenai demokrasi, politik serta tingkah laku pengundi.
“Walaupun tuan-tuan tengok saya ini tidaklah hensem mana, namun itu tidaklah bermaksud saya juga tidak bijak,” katanya secara berseloroh.



