Anwar, Lawrence Wong tegaskan komitmen perkukuh hubungan Malaysia-Singapura

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat bagi mewujudkan ikatan yang lebih teguh antara kedua-dua negara dan merentas semua sektor.

Dalam pertemuan rasmi sulung mereka di Seri Perdana di sini pada Rabu, Anwar berkata beliau dan Wong membincangkan hubungan dua hala secara terbuka dan jujur untuk mempertingkatkannya lagi.

Beliau berkata Wong, yang tiba di sini pada Selasa untuk lawatan pengenalan selama dua hari atas jemputan Anwar, komited seperti pendahulunya dalam menangani isu-isu dua hala yang tertunggak dan berterusan seperti zon ekonomi, pelaburan, perjanjian air, ruang udara, dan sempadan maritim.

“Saya sangat gembira dengan Perdana Menteri Lawrence Wong. Beliau kelihatan begitu komited dalam pertemuan pertama ini sebagai perdana menteri. Saya kagum dengan agenda beliau dan kesediaannya untuk bersikap jujur dan terbuka.

Saya menantikan hubungan dan ikatan yang sangat sihat dan kuat untuk memberi manfaat kepada kedua-dua negara kita,” kata Anwar dalam sidang akhbar bersama Wong selepas pertemuan makan tengah hari.

Anwar berkata hubungan Malaysia dan Singapura yang kukuh dan dinamik bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga rantau ini secara keseluruhan.

“Saya melihat ini secara pragmatik bahawa Malaysia sudah tentu akan mendapat manfaat besar dengan menjadikan Singapura sebagai rakan dan jiran yang hebat dan begitu juga manfaatnya kepada rakyat Singapura. Kami menganggap Singapura sebagai rakan strategik yang sangat penting dan saya telah menyatakannya tanpa ragu-ragu.

Sudah tentu ada isu-isu yang perlu diselesaikan, tetapi ia akan memberi manfaat besar. Kita boleh menunjukkan bukan sahaja kepada rantau ini tetapi kepada dunia bahawa kita boleh menjadi jiran yang sangat baik dan melalui langkah-langkah praktikal menyelesaikan beberapa isu ini.

Kita juga harus mencari jalan baharu untuk kerjasama yang bukan hanya melangkaui ekonomi dan perdagangan, tetapi juga budaya dan pelancongan serta semua bidang yang berkaitan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat