Kontroversi SMK Puncak Alam, KPM Serah Kepada Polis

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung beberapa insiden membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA).

SMKPA menjadi tumpuan nasional apabila seorang murid perempuan, Ain Husniza Saiful Nizam tampil membuat dakwaan salah seorang gurunya telah mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar semasa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Berikut adalah kenyataan KPM mengenai tiga insiden kontroversi membabitkan sekolah terbabit.

KPM ingin memaklumkan status semasa berkaitan insiden tersebut, khususnya perkara-perkara berikut:

(1) Aduan Murid Mengenai Guru Mengeluarkan Kata-kata Yang Tidak Wajar Semasa Melaksanakan PdP

KPM mengambil maklum bahawa laporan polis oleh murid terbabit mengenai perkara ini telah dibuat pada 24 April 2021.

Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apaapa kenyataan sepanjang tempoh siasatan. Ketika ini, KPM menempatkan guru berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan tersebut selesai. Tindakan KPM seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes ini.

(2) Tangkap Layar Komen Pengetua Di Facebook

KPM juga telah meneliti secara terperinci perkara yang tular mengenai komen yang dikatakan dibuat oleh pengetua SMKPA terhadap murid tersebut melalui aplikasi Facebook.

KPM mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan bahawa beliau telah memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam.

(3) Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran Ke Sekolah

KPM juga ingin menjelaskan perkara berkaitan “Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama” yang diterima murid berkenaan (ed. Ain Husniza Saiful Nizam).

Pemantauan kehadiran murid ke sekolah dilaksanakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM). Sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga (3) hari berturut-turut atau sepuluh (10) hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah, guru, melalui sistem ini, akan menjana Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama. Surat ini kemudiannya akan diposkan kepada ibu bapa/penjaga murid tersebut.

Secara umumnya, surat pemberitahuan ini dikeluarkan bagi memastikan ibu bapa/penjaga dan juga pihak sekolah mengetahui dan cakna akan kehadiran dan keberadaan murid semasa sesi persekolahan.

Selain itu, tindakan ini juga membolehkan KPM memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya.

Bagi tempoh 16 hingga 30 April 2021, sekolah berkenaan telah mengeluarkan sebanyak enam (6) pucuk Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama kepada ibu bapa/penjaga yang anak/anak jagaan tidak hadir ke sekolah tanpa sebab.

KPM ingin menekankan bahawa Kementerian sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan murid serta seluruh warga sekolah.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat