Kaitkan Adham Baba Dengan Syarikat Disiasat, Bersifat ‘Pembunuhan Karakter’

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Dakwaan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba terlibat dengan syarikat yang sedang dalam siasatan berkenaan kontrak perolehan darurat, berniat jahat dan bersifat pembunuhan karakter.

Dalam kenyataan yang diterbitkan hari ini, Pejabat Menteri Kesihatan menegaskan bahawa Adham tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) atau pemegang saham syarikat itu.

“Perlu ditegaskan menteri tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai kementerian agar meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat.

“Dakwaan itu jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk rakyat terhadap menteri kerana Iskandar Mirza sudah lama meninggalkan SANSB.

“Menggunakan fakta Iskandar Mirza sebagai bekas pekerja (Pengarah SANSB) bagi mengaitkan menteri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan syarikat lain sangat tidak masuk akal,” katanya.

Tambah kenyataan itu juga, semua urusan pembelian dan perolehan oleh KKM sepanjang perang menentang Covid-19, termasuklah KJSB yang memperoleh kontrak perolehan darurat bagi pelaksanaan ‘Lab Maligation Solution For COVID-19’, mengikut prosedur dan tatacara kewangan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian (KSU).

Terdahulu, Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dalam satu kenyataan mendakwa KJSB mendapat kontrak secara perolehan darurat bagi pelaksanaan Lab Mitigation Solution For COVID-19 terbabit.

C4 mendakwa antara syarikat yang menerima kontrak daripada KKM adalah KJSB yang mana dua daripada anggota lembaga pengarah syarikat berkenaan didapati orang sama dalam syarikat pemegang saham badan yang mengendalikan rangkaian klinik Adham.

Menurut kenyataan sama, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) membuat provokasi umum tentang kemungkinan Adham mempunyai kepentingan dalam KJSB berdasarkan kedudukan Iskandar Mirza Ahmad yang pernah menjadi pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang mempunyai kaitan dengan pemilik KJSB.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa Iskandar Mirza hanya menyertai SANSB dari 18 Julai 2007 hingga 30 Januari 2015 sementara Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui menyertai SANSB hanya dari 30 Januari 2015.

Tambah kenyataan tersebut, sebagai menteri, Adham Baba sentiasa mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berjalan dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

Sekiranya terdapat bukti salah saku atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penyelewengan, adalah penting untuk menyerahkannya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tegas kenyataan itu lagi.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat