KUALA LUMPUR – Langkah Umno kembali cuba mendekati parti Melayu ketika ini melalui inisiatif Rumah Bangsa sebagai strategi politik untuk mengukuhkan semula kedudukan mereka.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu dilihat hanya mencari sokongan parti Melayu ketika berada dalam keadaan terdesak.
“Pada pandangan saya, itu cubaan Umno untuk berkuasa kembali dan menjadi ‘abang besar’ semula. Itu pandangan saya, pandangan parti saya belum bincang.
“Masa dia (Umno) sesak dia cari orang Melayu, masa dia nak berkuasa dia cari kita. Masa dia seronok bersama DAP jadi kerajaan sekali, itulah Umno,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri, menurut Utusan di Alor Setar, semalam.
Beliau berkata, tindakan Umno sebelum ini yang bekerjasama dengan parti lain termasuk DAP dan PKR menunjukkan pendirian politik mereka sering berubah mengikut keadaan.
“Harap mereka insaf. Kita harap ikhlaslah untuk tengok orang Melayu, tidak tahulah politik sekarang macam mana. Apabila dia rasa tersilap, dia cari kita pula. Jadi kita tidak tahu bagaimana politik zaman sekarang ini. Kita harap mereka benar-benar ikhlas jika mahu melihat kepentingan orang Melayu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi dalam Pas berhubung perkara tersebut.
“Perjuangan Pas nombor satu adalah Islam dan Melayu, usahakan kekuatan perpaduan ummah. Mana-mana yang nak mai tidak kira Umno atau apa-apa parti yang selari dengan prinsip itu pada masa kini boleh kerjasama tetapi yang penting kena ikhlas.
“Ini bukan dunia pelakon, kita tidak boleh sembunyikan perkara sebenar kerana akhirnya orang akan tahu juga. Walaupun kepala tidak nampak, ekor tetap nampak. Orang tahu itu ekor anjing atau ekor lembu,” katanya.
Menurutnya, kekuatan politik umat Islam penting bagi memastikan kepentingan rakyat dapat dijaga serta menjamin keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Kalau kuasa politik orang Islam hilang, keadaan boleh menjadi kacau bilau habis sebab itu kita perlu kuatkan dahulu politik orang Islam supaya keharmonian semua kaum di negara ini dapat dipelihara. Islam tidak membenarkan kezaliman dan diskriminasi,” katanya.



