KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan dan seluruh negara mengambil pendekatan berhemah serta melakukan penjimatan bagi menghadapi kemungkinan kesukaran ekonomi akibat ketidaktentuan geopolitik dunia, khususnya konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) secara serentak melibatkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjimatkan kos serta mengurangkan ketidaktentuan politik.
Dalam konteks ini kata Suhaizan, sekiranya PRU16 dirancang secara strategik, pilihan raya Parlimen dan beberapa negeri termasuk Melaka serta Johor boleh dipertimbangkan untuk diadakan lebih awal dan secara serentak.
“Pendekatan ini mempunyai beberapa kelebihan utama antaranya ialah penjimatan kos yang besar kepada negara kerana pilihan raya tidak perlu diadakan secara berasingan.
“Dapat mengurangkan keletihan politik (political fatigue) akibat pilihan raya yang kerap.
“Juga memberikan mandat yang lebih jelas dan stabil kepada kerajaan di semua peringkat untuk memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” syor beliau.
Menurut Suhaizan lagi, dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, negara memerlukan kestabilan politik, disiplin fiskal dan perancangan strategik agar kita lebih bersedia menghadapi sebarang kesan daripada krisis global.
“Saya percaya cadangan ini wajar dipertimbangkan secara serius demi kepentingan negara dan rakyat,” tegas wakil rakyat Amanah itu.



