Pintu sudah dibuka, datanglah sendiri tiada ‘karpet merah’ – Umno Johor sedia terima Hishammuddin, pemimpin lain

KUALA LUMPUR – Umno Johor terbuka menerima semula pemimpin yang pernah digantung atau dipecat daripada parti, termasuk bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, Setiausahanya Datuk Abdul Halim Suleiman menegaskan mereka yang mahu kembali perlu mengambil inisiatif sendiri tanpa mengharapkan layanan istimewa daripada parti.

Menurutnya, pendirian itu selaras dengan langkah pucuk pimpinan Umno yang membuka ruang kepada bekas ahli kembali menyertai parti menerusi gagasan ‘Rumah Bangsa’.

“Rumah Bangsa sudah dibuka. Ini bermakna Umno menawarkan peluang kepada mereka untuk kembali tanpa sebarang syarat.

“Namun kita tidak akan sediakan ‘karpet merah’. Pintu sudah dibuka, jadi kalau mereka mahu kembali, datanglah sendiri,” katanya memetik laporan FMT pada Khamis.

Pada 2023, Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama 6 tahun. Minggu lalu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundang ahli yang pernah dipecat atau digantung kembali ke parti itu.

Menurutnya, tawaran tanpa syarat itu demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali ‘keluarga besar’ Umno.

Abdul Halim turut mengingatkan mana-mana pemimpin digantung atau dipecat supaya mengetepikan ego dan tidak terus mempersoalkan tindakan disiplin yang pernah dikenakan terhadap mereka.

“Jika pemimpin terlalu ego tanpa melihat keperluan parti, itu terpulang kepada mereka.

“Umno Johor tidak ada masalah menerima mereka kembali, tetapi bukan untuk kita pujuk,” katanya.

Mengulas kemungkinan Hishammuddin kembali bertanding di Parlimen Sembrong pada PRU16 sekiranya kembali menyertai Umno, Abdul Halim berkata perkara itu bergantung kepada penilaian pucuk pimpinan parti.

Katanya, keputusan perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan memberi keutamaan kepada seorang individu sahaja.

“Kalau hanya seorang pemimpin diberi keutamaan, bagaimana pula dengan pemimpin lain yang selama ini setia mempertahankan parti,” katanya.

Abdul Halim berkata Umno Johor juga terbuka menerima mana-mana pihak termasuk ahli Bersatu yang mahu menyertai parti melalui platform ‘Rumah Bangsa’.

“Bukan sahaja mereka boleh masuk Umno, tetapi masuklah ke ‘Rumah Bangsa’. Bagi kami, orang Melayu tidak sepatutnya berpecah.

“Platform politik seharusnya digunakan untuk kepentingan rakyat, bukan semata-mata demi kepentingan peribadi atau populariti politik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat