Masalah kekurangan ais blok isu lapuk, perlu diselesaikan segera

- Advertisement -

Oleh: Nik Syukri Ramli

KUANTAN- Arahan penutupan kilang ais blok kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) berhampiran jeti nelayan Tanah Putih, dekat sini, menyaksikan harga ikan di pasaran meningkat sehingga 10 peratus.

Kenaikan harga ini bukan sahaja menyusahkan pengguna, tapi turut memberi kesan kepada pemborong ikan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sejak dua minggu lalu.

Seorang pemborong, Ab Salam Ab Halim, 57, berkata penutupan kilang ais blok itu juga mengakibatkan mereka perlu menanggung kos tambahan dengan membeli ais dari luar daerah ini.

“Masalah kekurangan ais blok ni bukan benda baru, boleh kata tiap tahun berlaku dan punca utama adalah pengeluaran ais oleh kilang sedia ada tidak mencukupi permintaan pemborong dan pengusaha bot.

“Biasanya bulan tujuh (Julai) bulan lapan (Ogos) masalah ini bertambah teruk sebab ikan banyak tapi (bekalan) ais blok tidak ada, jadi (masalah) nak ‘packing’ ikan.

“Pengurusan pun tak cekap mana dan harapan saya kalau boleh jangan biarlah berulang masalah ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ab Salam turut menyatakan rasa hairan dengan pihak pengurusan jeti yang seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman sebelum ini.

“Sepatutnya mereka tahu, tiap tahun bila sampai bulan tujuh (Julai), lapan (Ogos), sembilan (September), ikan banyak, (musim) ikan naik, tapi ais blok (selalu) tak cukup,” katanya lagi.

Seorang lagi pemborong, Mohammad Azani Abdullah, 50, berpendapat cara terbaik untuk menyelesaikan masalah itu adalah dengan membina kilang ais blok dalam kawasan jeti pendaratan ikan sedia ada.

“Kalau boleh buat kilang ais blok dekat sini, kalau ada kilang, dekat sini lagi molek (bagus). Sekarang kami terpaksa beli (ais blok) dari luar, beli ais kiub tapi mahal sikitlah dan cepat cair,” katanya.

Ais kiub kurang sesuai digunakan bagi menyimpan ikan berbanding ais jenis blok yang lebih tahan lama dan tidak mudah cair.

Dia turut mengakui berlaku kenaikan harga ikan sejak masalah kekurangan ais berlaku kira-kira dua minggu lalu.

“Sekarang pun musim monsun (Monsun Timur Laut) lagi, ikan mahal, kos ais tinggi, jadi ramai juga merungut,” katanya.

Zakaria Ismail

Sementara itu, seorang lagi pemborong, Zakaria Ismail, 55, berharap masalah kekurangan bekalan ais blok diselesaikan sebelum Tahun Baharu Cina hujung bulan ini.

“Kalau tak (selesaikan) juga, masalah ini akan bertambah teruk kerana selepas Tahun Baharu Cina, lebih banyak bot akan keluar (menangkap ikan) dan mereka akan menggunakan banyak ais.

“Kita (pemborong) pun nak guna juga ais, mereka (pengusaha bot) pun nak guna juga, memang akan jadi (timbul) masalah dan akhirnya kos bertambah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, arahan penutupan kilang ais blok milik NEKMAT dibuat selepas mendapati keputusan sampel yang diterima pada 15 Disember 2022 menunjukkan pencemaran mikroorganisma ‘Pseudomonas aeruginosa’ di dalam sampel dari kilang berkenaan.

“Pensampelan ulangan sudah dijalankan pada 20 Disember 2022 dan keputusan yang diterima pada 8 Januari lalu masih menunjukkan pencemaran mikroorganisma ‘Pseudomonas aeruginosa’ di dalam sampel yang dianalisa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Nor Azimi berkata, arahan penutupan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(g), Akta Makanan 1983.

Katanya, tempoh sah lesen kilang ais blok itu juga sudah tamat pada 19 Disember lalu dan premis itu tidak dibenarkan beroperasi sehingga sampel ais blok mematuhi piawaian ditetapkan mengikut Akta Makanan 1983 dan memperoleh lesen sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Penutupan kilang ini sepatutnya tidak menjejaskan bekalan ais blok kepada nelayan kerana terdapat kilang mengeluarkan ais blok yang beroperasi dalam daerah Kuantan,” katanya lagi.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat