KUALA LUMPUR – Umno tidak akan meminda sebarang Perlembagaan parti bagi menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil sebaliknya menegaskan supaya pencabar yang berhasrat merebut jawatan utama parti untuk mengumumkan segera pencalonan mereka.
“Kita (Umno) tak halang sesiapa nak bertanding jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan juga Naib Presiden Umno tapi adalah lebih baik diumumkan lebih awal, tak perlu sorok atau cakap belakang.
“Sesiapa nak bertanding jangan berselindung, kita tak mahu nanti ada gerakan yang gunakan konco buat kerja malam-malam. Tak lama dah, tiga empat bulan sahaja lagi sebelum tarikh pemilihan.
“Kita pun tak pinda apa-apa Perlembagaan Umno untuk halang sesiapa bertanding. Malah PAU adalah platform terbaik untuk pencabar mengumumkan saingan memandangkan perwakilan dari semua negeri ada di sini, umum lebih awal lebih bagus,” katanya ketika sidang media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada Khamis.
Isham bagaimanapun, lebih senang jika jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan kerana Umno kini dalam status huru-hara dan di fasa kritikal.
“Umno dalam Kerajaan Perpaduan pun masih rapuh, kita bimbang akan wujudnya politik wang.
“Kita tak halang sesiapa nak tanding tapi umumlah lebih awal,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Isham menyatakan Umno ketika ini sudah terlentang tapi belum mati namun perlu bangkit segera dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). -Suara.TV