KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia kekal tidak berganjak dengan pendiriannya supaya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak diteruskan.
Pengerusi JKPK Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, JKPK sudah pun diberi penerangan mengenai konsep dan format baharu itu, namun ia tidak memenuhi justifikasi yang sudah dinyatakan sebelum ini.
“Justifikasi sudah dinyatakan selepas taklimat bersama Kementerian Pertahanan serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) tempoh hari.
“Bagaimanapun sekiranya kerajaan tetap ingin melaksanakannya juga, mesti ada kajian yang lebih teliti dan mendalam dilakukan supaya perkara sama tidak berulang kembali.
“Kami sedia mengundang kehadiran Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat JKPK dan bentangkan mengenai kajian mereka untuk meneruskan PLKN itu.
“Sebelum ini, kami juga sudah pun menjemput Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan untuk berbincang,” lapor BH, pada Rabu.
Terdahulu media melaporkan kerajaan membuat keputusan melaksanakan PLKN 3.0 berdasarkan hasil kajian terperinci serta mendalam dan ia akan dijalankan dengan konsep dan format yang baharu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian akademik sudah dilakukan secara kuantitatif dan kualitatif bagi mengukur impak pelaksanaan program berkenaan.
Malah, katanya statistik pembabitan belia, kadar kepuasan peserta dan pengukuran tahap patriotisme menunjukkan hasil yang positif.
Saifuddin sebelum ini pernah menegaskan, JKPK yang dianggotai sembilan ahli Parlimen itu turut mengemukakan tujuh justifikasi berhubung penolakan PLKN 3.0.
Antaranya pelaksanaan latihan itu tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas dan merupakan masalah berlanjutan (legasi) akibat objektif dan sasaran PLKN 1.0 yang tidak jelas.
“Sekiranya PLKN 3.0 ingin dilaksanakan juga, maka matlamat dan modulnya hendaklah berasaskan latihan ketenteraan atau separa ketenteraan, tetapi persoalannya adakah negara memerlukan PLKN yang sedemikian?
“Modul PLKN 3.0 yang dicadangkan ini adalah bercampur aduk, iaitu 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus (berkaitan) kenegaraan.
“Ia (modul terbabit) memberi penekanan kepada asas ketenteraan tetapi sebahagian daripada kandungannya tiada kaitan dengan perkara itu,” katanya.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan, pihaknya turut mendapati PLKN 1.0 dan 2.0 tidak meninggalkan kesan positif jangka panjang dalam kalangan peserta berdasarkan pelbagai kajian yang dijalankan
“PLKN 1.0, 2.0 dan 3.0 juga membabitkan kos pelaksanaan amat tinggi, berbanding kesan positif yang tidak seberapa, sedangkan kesan positif sama boleh diperoleh melalui program atau institusi pendidikan sedia ada dan sebagainya,” kata beliau.