KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM463 juta untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dalam usaha mempersiapkan Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini langkah progresif kerajaan memerangi kesesakan dan memperkukuh keselamatan jalan raya.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil. 3/2024 telah diadakan hari ini untuk meneliti isu-isu utama berkaitan keselamatan jalan raya dan kesesakan lalu lintas serta merangka inisiatif penyelesaian yang komprehensif.
“Mesyuarat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM463 juta seperti yang diumumkan dalam Bajet 2025 untuk pelbagai inisiatif menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Zahid, fokus utama adalah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang dan bandar-bandar utama.
“Antaranya, Prasarana Malaysia Berhad telah memperkenalkan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) sejak Jun 2024 untuk meningkatkan kesalinghubungan awal dan akhir perjalanan.
“Setakat ini dengan 20 van yang beroperasi – masa menunggu pelanggan telah berjaya dikurangkan daripada 40 minit kepada 13 minit.
“Selain itu, pelaksanaan Lorong Khas Bas sejak 3 Julai 2023 di Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, dan Jalan Klang Lama telah meningkatkan jumlah penumpang harian, memendekkan masa perjalanan, dan meningkatkan kelajuan komersil.
“Kejayaan ini telah mendorong pelaksanaan lorong khas bas diperluaskan ke laluan baharu di Lembah Klang serta di Georgetown, Pulau Pinang mulai November 2024.
“Ini termasuk RM10 juta diperuntukkan bagi peluasan lorong khas bas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras, dan Jalan Gombak sepanjang 47km,” jelas beliau.
Sementara itu, bagi aspek keselamatan jalan raya pula katanya, mesyuarat telah memutuskan untuk mewajibkan pemasangan Speed Limiter Device terhadap bas kategori Completely Knocked Down (CKD) mulai 1 Januari 2026 melalui Prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).
Jelas Zahid, langkah ini bertujuan meningkatkan pematuhan had laju dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan komersil.
“Statistik sehingga November 2024 menunjukkan sebanyak 5,939 kematian akibat nahas jalan raya dengan purata 18 kematian sehari, di mana 4,014 daripadanya adalah pengguna motosikal.
“Penyebab utama kemalangan maut antaranya adalah kecuaian sendiri (1,667 kes maut) cuai keluar/masuk simpang jalan susur (690 kes), diikuti cuai memotong atau menukar laluan (525 kes), dan leka/berangan/mengantuk (419 kes).
“Data ini menyerlahkan lagi kepentingan penguatkuasaan undang-undang dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya,” katanya.
Selain itu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, kerajaan juga memberi perhatian serius kepada tren kemalangan yang meningkat berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah.
“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi dengan melaksanakan kajian menyeluruh yang diterajui MIROS.
“Ini termasuk perkongsian data serta sesi libat urus untuk memastikan pendekatan yang lebih berkesan dalam menangani isu keselamatan dan kesesakan jalan raya.
“Kerajaan yakin bahawa inisiatif-inisiatif ini, jika dilaksanakan mengikut perancangan, mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam negara serta menarik lebih ramai rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya.