KUALA LUMPUR – Formula penyelesaian isu pengagihan gas membabitkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan isu pengagihan gas sudah boleh dianggap selesai sementara menanti pengumuman sebenar dibuat oleh Perdana Menteri.
“Jadi, perkara ini tidak ada masalah sebenarnya, hanya dari sudut perundangan yang mana PETRONAS bergantung kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), makanala kita (Sarawak) bergantung kepada Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan ini sudah diputuskan bahawa PDA dengan OMO ini boleh wujud bersama (coexist).
“Namun, ramai yang membuatkan perkara ini sebagai suatu isu yang besar di mana ada yang kata PETRONAS akan hilang (keuntungan) RM100 bilion. Ya, mungkin memang akan kurang sedikit disebabkan oleh pengagihan gas tersebut.
“Saya rasa perkara ini boleh diselesaikan. Bahkan, sekarang ini sudah nampak ada penyelesaiannya, tetapi saya tidak boleh dedahkan dahulu pada ketika ini, biarlah Perdana Menteri akan memberitahu formula penyelesaian kepada kita. Ia sudah selesai,” katanya dalam sesi rakaman program terbitan TVS, Temu Bual Khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025, di Kuching, semalam.
Abang Johari memberitahu syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan PETRONAS dalam industri gas di wilayah ini.
Jelas beliau, ini kerana PETROS dan PETRONAS menguasai sebahagian besar sektor simpanan gas di Sarawak.
Menurut Abang Johari, ini juga bermakna hasil penerokaan sumber asli itu di Sarawak akan dikongsi bersama dan isu berbangkit sebelum ini hanya membabitkan aspek perundangan.