Skandal rasuah lombong mineral: DAP Sabah diberi mandat tentukan kedudukan dalam kerajaan negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi DAP Pusat memberikan mandat penuh kepada DAP Sabah untuk mengkaji kedudukannya dalam pentadbiran Negeri di Bawah Bayu itu susulan dakwaan rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa Adun kerajaan di Sabah.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang bermesyuarat malam tadi telah diberi penerangan secara terperinci oleh Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe.

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP telah mengadakan mesyuarat pada malam tadi, 10 Disember 2024 di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur dan mengambil beberapa ketetapan.

“Berikutan pendedahan beberapa video skandal tuduhan rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin kanan kerajaan di Sabah, Pengerusi DAP Sabah telah memberikan penerangan secara terperinci berkenaan isu tersebut dalam mesyuarat dan CEC menegaskan pendirian DAP yang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan serta menyeru pihak SPRM menyiasat kes tersebut dengan tegas.

“CEC telah memberikan mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan DAP dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dan mengambil tindakan yang selanjutnya,” kata Anthony dalam kenyataan media, semalam.

Untuk rekod, DAP mempunyai dua wakil dalam kerajaan Sabah iaitu Phoong Jin Zhe sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan manakala Adun Likas Tan Lee Fatt menjawat Timbalan Menteri Kewangan.

Penyertaan mereka susulan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas kegagalan gerakan politik dikenali ‘Langkah Kinabalu’ didakwa dirancang Umno pada Januari tahun lalu.

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan ada lapan video daripada pemberi maklumat menunjukkan perbincangan antara ahli perniagaan dan Adun mengenai rasuah untuk lesen projek.

Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata anak guamnya bersedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi anti rasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki membidas helah itu dan meminta bukti diberikan supaya siasatan dapat dibuat segera.

Kelmarin, Azam mengesahkan pemberi maklumat itu masih enggan menyerahkan bukti yang dimilikinya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan membantu SPRM menyiapkan siasatan kes.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat