KUALA LUMPUR – Malaysia dan Arab Saudi telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengecualian visa untuk lawatan jangka pendek kepada pemegang pasport diplomatik dan rasmi atau khas pada 10 Disember 2024 di Kementerian Luar Negeri Arab Saudi di Riyadh, sejurus selesai mesyuarat pertama Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC).
Kementerian Luar Negeri atau dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud telah menandatangani MoU itu.
“Pemeteraian MoU ini merupakan satu langkah kehadapan yang signifikan dalam hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi yang dibina berasaskan kerjasama berterusan sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1957.
“Ini juga merupakan pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia, di mana ia memudahcara urusan perjalanan dan meningkatkan penglibatan secara langsung anggota-anggota pentadbiran dan pegawai kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.
Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri Luar Negeri membincangkan usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor, terutamanya perdagangan, pelaburan, tenaga, sains dan teknologi, pendidikan, hal ehwal Islam, kesalinghubungan dan pelancongan.
Kedua-dua Menteri Luar Negeri juga membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, termasuklah, kerjasama ASEAN-GCC, konflik semasa Palestin-Israel, dan perkembangan terkini di Timur Tengah.
Menteri Luar Negeri juga mengambil kesempatan untuk menjemput Putera Faisal untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada tahun 2025.