KUALA LUMPUR – Negeri Johor hari ini kekal merekodkan paling banyak kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) ‘Tidak Sihat’ setakat pukul 7 pagi tadi manakala beberapa kawasan menunjukkan pemulihan.
Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut memaklumkan bilangan lokaliti yang merekodkan IPU ‘Tidak Sihat’ menurun kepada 19 kawasan berbanding 33 semalam.
Di negeri Selatan tanah air itu, lokaliti yang merekodkan IPU yang buruk ialah Pasir Gudang (183), Larkin (180), Tangkak (168), Kota Tinggi (167), Segamat (165), Pengerang (162), Kluang (160) dan Batu Pahat (154).
Kawsan yang menunjukkan pemulihan ialah di dua lokaliti iaitu Langkawi, Kedah (36) dan Balik Pulau, Pulau Pinang (28).
Stesen cerapan di Cheras dan Batu Muda di ibu negara pula masing-masing merekodkan bacaan IPU 161 serta 113, manakala Tasek Ipoh, Perak (150).
Di Pahang, Balok Baru dan Rompin masing-masing mencatat IPU 158 serta 156, manakala di Terengganu pula bacaan di stesen Kemaman (155), Kuala Terengganu (152) dan Paka (104).
Stesen Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka pula masing-masing merekodkan bacaan IPU 152 serta 151.
Sementara itu, 47 lokaliti di seluruh negara mencatat bacaan IPU sederhana, termasuk Indera Mahkota (99), Samalaju (98), Port Dickson dan Miri masing-masing 96, serta Tanjung Malim dan Seremban masing-masing 95.
Maklumat di portal APIMS menunjukkan tiada lokaliti mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat serta berbahaya.



