KUALA LUMPUR — Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan datang daripada ‘lubuk hati’ Presiden sendiri dalam menjawab persoalan serta suara akar umbi mengenai pendirian dan hala tuju parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesej Presiden jelas supaya UMNO tidak lagi terheret dengan sentimen murahan dan hipokrasi politik, sebaliknya berani membawa tawaran yang lebih besar mengenai pembinaan negara bangsa serta masa depan Malaysia.
“Saya kira ucapan ini yang dinantikan. Ucapan daripada lubuk hati Presiden sendiri kerana inilah yang dibangkitkan oleh pemimpin dan juga ahli-ahli akar umbi sepanjang dua bulan ini di mesyuarat-mesyuarat cawangan dan bahagian-bahagian.
“Mereka ingin mengetahui apakah pendirian dan hala tuju parti. Apakah selamanya kita berada ataupun melukut di tepi gantang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, ucapan Zahid turut memperjelaskan tawaran yang ingin diberikan UMNO kepada rakyat, dengan penekanan terhadap pembinaan negara bangsa dan masa depan negara yang melibatkan seluruh rakyat.
“Jadi saya kira apabila Presiden bercakap daripada hati dan banyak perkara yang disentuh tadi, menjelaskan bagaimanakah tawaran yang ingin diberikan kepada rakyat.
“Kita bercakap soal bagaimana negara bangsa itu yang harus kita fikirkan dan masa depan negara untuk semua rakyat,” katanya.
Beliau berkata, penegasan mengenai pembinaan negara bangsa turut memperlihatkan bahawa UMNO mahu membawa pendekatan yang mengambil kira realiti Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Kerana itulah diimbau kembali bagaimana soal pembinaan negara bangsa. Tanah air ini, Malaysia ini milik semua, bukan sahaja orang Melayu,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, walaupun UMNO terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera, perkara itu tidak bermaksud hak serta keberadaan kaum lain dinafikan.
“Walaupun kita membicarakan soal kepentingan induknya Melayu Bumiputera, tetapi itu tidak sekali-kali menafikan keberadaan, hak dan realitinya bahawa negara ini milik semua.
“Orang Melayu, orang Cina, orang India, Kadazan, Dusun, Dayak, Sabah, Sarawak, semuanya adalah pemilik tanah air ini yang wajar kita sepakati dan semangati,” katanya.
Beliau berkata, semangat itu selari dengan asas pembinaan UMNO bersama MCA dan MIC yang perlu digerakkan semula bagi memastikan konsep perpaduan diterjemahkan berdasarkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sebagaimana asas yang dibina oleh UMNO, MCA dan MIC. Inilah yang ingin kita gerakkan kembali supaya jangan kita berbicara soal perpaduan tetapi lompong makna sebenar.
“Seolah-olah kita menafikan tabii dan realiti negara kita ini yang tidak pernah mencayakan identiti kaum ataupun agama mana-mana pihak,” katanya.


