Antara ucapan dasar terbaik Presiden, pastikan UMNO terus berada di landasan tepat – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Perjalanan UMNO sepanjang 80 tahun yang melalui fasa naik dan turun perlu dijadikan pengajaran oleh kepimpinan parti untuk memastikan ‘putaran’ politik selepas ini terus membawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada landasan yang tepat.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya hari ini turut menyentuh perjalanan parti sepanjang 80 tahun serta pengalaman lapan tahun kebelakangan ini sebagai satu pengajaran penting dalam perjuangan politik.

“Presiden tadi menyentuh perjalanan parti sejak 80 tahun dahulu dan pengajaran lapan tahun sebelum ini membuktikan bahawa dalam perjuangan politik ini ada putaran.

“Ada masa kita naik, ada masa kita turun.

“Dan masa kita naik, kita ditatang, dipuji, disokong. Tapi masa kita turun pada lapan tahun sebelum ini, kita dicemuh, kita diserang, kita difitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau berkata, segala pengalaman yang dilalui UMNO itu seharusnya memberikan kekuatan kepada parti untuk bangkit dan memastikan fasa peningkatan yang sedang dilalui dapat diteruskan.

“Dan Alhamdulillah, saya tengok putaran tadi yang saya sebut dalam politik. Ada masanya kita turun, ada masanya kita naik.

“Terserah kepada pemimpin-pemimpin parti sekarang untuk menentukan bahawa putaran itu untuk UMNO dan Barisan Nasional terus berarahnya ke atas,” katanya.

Hishammuddin berkata, perkara itu penting bagi memastikan pemimpin UMNO di setiap lapisan memahami serta menghayati amanat yang disampaikan Presiden dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh kejujuran serta keberanian.

“Ini penting untuk menentukan bahawa pemimpin-pemimpin kita di setiap lapisan mesti memikul amanah itu dengan jujur, dengan keberanian, dengan konsistensi, istiqamah dalam perjuangan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menyifatkan ucapan dasar Zahid sebagai antara ucapan terbaik yang pernah didengarnya daripada seorang Presiden UMNO.

“Saya tengok ucapan Datuk Seri Zahid tadi merupakan antara yang terbaik saya dengarlah daripada Presiden UMNO.

“Dan saya harap bahawa ia boleh meletakkan kita pada landasan yang betul,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat