PUTRAJAYA – Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perkara itu susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan berkuat kuasa pada 11 September 2026.
“Semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.
“KDYMM Seri Paduka Baginda juga berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak menyatakan tarikh mesyuarat seterusnya atau sebab permohonan pengampunan Najib ditangguhkan. – SuaraTV


