KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyelar tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang kecuali Bersatu yang bertindak meninggalkan sesi sidang khas Dewan Rakyat membincangkan Laporan RCI Tabung Haji (TH).
Tun Faisal menegaskan, dalam isu sebesar Tabung Haji, perbahasan lebih penting daripada drama dan demonstrasi politik.
“Tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang yang memilih untuk keluar Dewan ketika Sidang Khas Dewan Rakyat membincangkan Laporan RCI Tabung Haji amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
“Isu Tabung Haji bukan isu politik picisan. Ia menyentuh sebuah institusi yang menguruskan amanah dan simpanan jutaan pendeposit serta mempunyai kedudukan penting kepada umat Islam di negara ini. Ia juga menyentuh soal wang pembayar cukai dan perbendaharaan negara.
“Jangan tinggalkan gelanggang ketika isu amanah sedang dibincangkan. Tabung Haji adalah amanah, bukan pentas untuk percaturan politik jangka pendek pembangkang,” katanya.
Menurut beliau, alasan bahawa Perdana Menteri tidak hadir dan ketidakpuasan hati terhadap format sidang tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk meninggalkan Dewan.
Kata Tun Faisal, Perdana Menteri bukan satu-satunya anggota kerajaan. Menteri dan Timbalan Perdana Menteri hadir untuk menjawab persoalan Ahli Parlimen.
“Kalau pembangkang mempunyai soalan, tanyakan. Kalau ada bukti kelemahan kerajaan, bentangkan. Kalau tidak berpuas hati dengan jawapan, bantah dan tekan kerajaan. Itulah fungsi pembangkang di Parlimen, bukan keluar dewan.
“Ahli Parlimen Bersatu memilih untuk kekal dalam Dewan dan mahu tempoh perbahasan RCI Tabung Haji dipanjangkan. Tahniah. Ini sikap Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat yang betul.
“Ahli Parlimen Bersatu membuktikan isu sebesar Tabung Haji masih boleh diperjuangkan tanpa mengorbankan ruang perbahasan atas alasan yang tidak masuk akal.
“Rakyat memilih Ahli Parlimen untuk berbahas, bertanya, menyemak dan memastikan kerajaan bertanggungjawab. Tabung Haji bukan milik kerajaan dan bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah amanah umat Islam dan kepentingan jutaan pendeposit.
“Jika kerajaan gagal, buktikan dalam Dewan. Jika ada yang perlu didedahkan, dedahkan dalam Dewan. Jika laporan RCI tidak lengkap, hujahkan dalam Dewan. Jika jawapan kerajaan tidak mencukupi, tuntut jawapan dalam Dewan,” tegur beliau.


