KUALA LUMPUR – Kerajaan dalam keadaan terpaksa telah menyelamatkan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi bantuan kewangan (bail-out) berjumlah melebihi RM10 bilion selepas organisasi itu menghadapi krisis kewangan akibat penyelewengan, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan.
Berucap dalam Sidang Khas Parlimen berkenaan hasil siasatan RCI TH di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata langkah itu dibuat bagi memulihkan kedudukan kewangan TH dan bukannya bertujuan mengambil alih aset TH.
Dakwaan bahawa aset TH dijual kepada bukan Islam atau kaum Cina adalah satu fitnah yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menanam kebencian dan mencetuskan hasutan.
“Tiada aset yang dijual kepada bukan Islam mahupun kepada kaum Cina seperti yang difitnahkan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menanamkan kebencian dan membuat hasutan.
“Aset ini adalah hak milik Urusharta Jamaah, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya.
Dr Zulkifli hari ini memberikan Sesi Penerangan Menteri mengenai laporan berkenaan serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan TH dalam sidang khas itu.
Zulkifli berkata, TH berdepan keadaan genting apabila jurang defisit antara aset dan liabilitinya melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018.
Katanya, ketika itu hanya berbaki kira-kira tiga bulan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah kewangan yang dihadapi TH.
“TH ketika itu adalah tidak solven dan perlu diselamatkan.
“Keadaan tersebut akhirnya memaksa Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan (bailout) TH dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya TH kembali solven serta kekal mampan untuk jangka panjang,” kata beliau.



