KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan terperinci dan telus berhubung kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Setiausaha Agung Kongres Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya mengikuti rapat kes berkenaan.
“Pihak Kongres menasihati semua pihak, khususnya warganet supaya berhenti mencetuskan pelbagai teori dan menyebarkan spekulasi tidak berasas berkaitan kematian pelajar berusia 13 tahun itu melalui media sosial.
“Ini kerana tindakan itu akan mengganggu proses siasatan, malah berpotensi mencemarkan imej serta maruah mangsa dan keluarganya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menyokong proses menegakkan keadilan kepada keluarga mangsa dan berharap ia ditangani dengan sebaik-baiknya.
“Semua pihak perlu memberikan kepercayaan kepada proses terbabit dan tidak menimbulkan apa-apa kekeliruan dan polemik.
“Kongres juga menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan kematian Zara Qairina supaya tidak mengganggu proses siasatan.
“Ia juga bagi memastikan emosi guru, murid-murid dan warga sekolah dalam keadaan baik dan sejahtera,” katanya.
Menurutnya, Kongres bersama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) menolak segala bentuk perlakuan buli di sekolah dan tidak berkompromi terhadap perbuatan itu.
“Kongres menggesa siasatan adil dan saksama buat keluarga mangsa. Pada masa sama, kami menyeru semua pihak supaya menangani isu itu dengan waras dan rasional tanpa dipenuhi dengan sentimen serta emosi.
“Kami yakin negara ini adalah negara yang mengikut hukum yang berdiri atas prinsip Rukun Negara iaitu keluruhan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya memetik BH pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga.
Pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Zara Qairina kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.



