KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri bagi mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pada 14 Ogos ini.
Memetik laporan portal berita FMT, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Agama negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata majlis berkenaan akan diadakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh Sabah.
“Pada 8 Ogos (Jumaat lalu), saya mengarahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk menyelaras Majlis Tahlil dan Doa untuk kesejahteraan Allahyarhamah di semua masjid dan surau negeri.
“Untuk makluman, kerajaan negeri akan menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri pada Khamis ini selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang akan dipimpin oleh Mufti Sabah. Ia akan diadakan serentak di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Allahyarhamah Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.



