Syamel, Ernie berguru dengan Pak Ngah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi, Syamel dan Ernie Zakri berguru dengan Anuar Zain sebagai persiapan Konsert Aku Cinta, Oktober depan.

Gementar reaksi peminat terhadap konsert sulung gandingan mereka, Ernie tidak bertangguh mendapatkan tip daripada bapa saudaranya itu sebagai panduan.

“Kami sering berjumpa Pak Ngah (panggilan untuk Anuar) untuk mencuri tip daripadanya yang memang terkenal sebagai artis konsert.

Syamel dan Ernie akan berkongsi perjalanan hidup mereka pada Konsert Aku Cinta di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Oktober depan. Foto Rocketfuel Entertainment
Syamel dan Ernie akan berkongsi perjalanan hidup mereka pada Konsert Aku Cinta di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Oktober depan. Foto Rocketfuel Entertainment

 

“Pak Ngah dan Ziana (ibu saudara) banyak membantu memberi pelbagai input termasuk dalam aspek pakaian dan apa yang mahu dibualkan dengan peminat,” katanya pada sidang media mengumumkan Konsert Aku Cinta di sini, semalam.

Konsert Aku Cinta bakal dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur di sini, pada 23 Oktober depan.

Selain mendapatkan tip, pasangan ini juga menonton Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 yang berlangsung baru-baru ini dan persembahan artis lain bagi mendapatkan inspirasi.

Sementara itu, Syamel sukar membayangkan apa akan berlaku pada konsert sulung mereka itu.

“Kali pertama menganjurkan konsert, macam-macam perkara berlegar dalam kepala. Jadi, saya dan Ernie tonton konsert penyanyi lain dan belajar.

“Selama ini, kami hanya buat persembahan pada majlis anugerah. Malah, kami tidak pernah menjayakan ‘showcase’ sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ernie berkata, dia dan Syamel juga bimbang sambutan peminat terhadap konsert itu yang menawarkan tiket pada harga serendah RM200 hingga RM500.

“Dari awal lagi saya tertanya-tanya adakah peminat sudi datang menyaksikan konsert kami? Tetapi saya tidak mahu serabutkan fikiran dengan terlalu memikirkan perkara itu.

“Fokus saya dan Syamel adalah memberi yang terbaik buat penyokong kami. Selain itu, ada banyak kejutan,” katanya yang meletakkan kekuatan konsert kepada susunan lagu di bawah pimpinan Aubrey Suwito.

Bagi memantapkan mutu vokal mereka, Ernie dan Syamel mengikuti kelas vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat sejak sebulan lalu.

Menyentuh tema Aku Cinta, Syamel tidak menafikan konsert yang dibawa Rocketfuel Entertainment itu berkisar kisah cinta mereka.

“Pada awalnya, kami mahu ketengahkan tema ala teater muzikal. Selepas difikirkan semula, ini adalah konsert pertama kami.

“Jadi, kami ingin bercerita kisah di sebalik pertemuan pertama, percintaan dan perjalanan hidup masing-masing,” katanya.

Syamel berkata, konsert itu sudah lama diimpikan iaitu sebelum penularan pandemik COVID-19.

“Sekarang kami fikir waktu yang sesuai selepas ramai penyanyi mementaskan konsert.

“Kami akan pastikan konsert ini diingati peminat. Kami mahu ramai golongan muda menyaksikan konsert ini pada harga berpatutan,” katanya.

Pada konsert lebih dua jam itu, Syamel dan Ernie bakal mendendangkan 23 lagu termasuk yang dipopularkan penyanyi lain.

Pembeli tiket Diamond bernilai RM500 berpeluang menghadiri sesi ramah mesra bersama Syamel dan Ernie selain mendapat cenderahati eksklusif.

Tiket yang dijual melalui platform Ubertickets.my boleh dibeli mulai Isnin ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat