Terbuka untuk bekerjasama

- Advertisement -

PEMILIHAN penyanyi terkenal, Misha Omar bagi menggalas tugas sebagai juri tetap program realiti terbaharu Suara Viral (SV) yang disiarkan di Astro Prima dianggap tepat.

Apatah lagi, Misha yang bermula di pentas pertandingan Bintang RTM 2001 terus melakar pelbagai kejayaan di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM) termasuk di peringkat antarabangsa Festival Muzik Asia Shanghai.

Berbekalkan pengalaman selama 19 tahun, Misha, 38, atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar ingin berkongsi ilmu yang ada kepada peserta sebelum melangkah ke dunia sebenar sebagai penyanyi.

Malah, kredibiliti dimiliki Misha sebagai antara penyanyi wanita yang cukup cemerlang dalam kerjayanya dilihat mampu memberi warna baharu kepada pendatang baharu.

DUDUK di kerusi juri membolehkan Misha belajar untuk memperbaiki diri supaya menjadi penyanyi yang lebih baik ketika di pentas.
DUDUK di kerusi juri membolehkan Misha belajar untuk memperbaiki diri supaya menjadi penyanyi yang lebih baik ketika di pentas.

“Menjadi juri tetap bukan tugas mudah kerana sebagai juri tetap kita adalah penonton tetap di situ. Macam saya cakap dalam beberapa minggu lalu, tentu saja kita mahu melihat groove setiap peserta dalam pertandingan ini. Jadi ia bukan perkara mudah. Banyak penilaian perlu dibuat.

“Malah setiap minggu selepas rakaman saya dan Akim akan pergi berjumpa mereka untuk berikan tips. Sebab nak pastikan setiap mereka ada perkembangan dalam pertandingan ini.

“Saya suka bekerja dengan orang baharu. Apabila saya tengok peserta ini, saya nampak diri saya. Saya juga daripada peserta kemudian menjadi artis rakaman dan bekerja sehingga kini, jadi banyak ilmu saya dapat di sepanjang perjalanan untuk mencapai tahap sekarang. Jadi, saya di sini macam menjadi medium yang baik berkongsi sedikit sebanyak tips untuk mereka,” katanya.

Menurut Misha, duduk di kerusi juri tetap juga membolehkan dirinya belajar untuk memperbaiki diri supaya menjadi penyanyi yang lebih baik ketika berada di pentas.

“Dalam masa sama, apabila menjadi juri tetap, kadang-kadang tengok diri sendiri juga yang mana pernah buat macam apa mereka buat di pentas. Maksudnya, tak nak buat lagi selepas ini.

“Jadi, skop sebagai juri lebih luas selain kita dapat membetulkan diri juga. Saya anggap menjadi juri tetap sebagai medium untuk saya menjadi anak seni yang lebih matang dan dalam masa sama tak nak ilmu yang ada ini dipersiakan.

“Jadi bolehlah kongsi kepada adik-adik yang clueless dan masih tak tahu apa-apa kehendak sebagai penghibur di atas pentas,” katanya.

Ditanya mengenai potensi yang ada pada setiap peserta, Misha yang popular dengan lagu Sampai Bila menyifatkan mereka perlu bijak mencari ruang dan peluang.

“Sebenarnya ada antara mereka yang mempunyai bakat yang belum ada dalam pasaran industri muzik. Kalau mereka bijak cari ruang dan peluang, memang mereka ada tempat. Ada antara mereka memiliki vokal yang bagus dan masih boleh digilap lagi. Jadi memang ada ruang.

“Seperti dalam sidang media tempoh hari, pihak Astro pun ada cakap mereka menyediakan platform untuk bakat baharu. Selebihnya atas usaha mereka sebab sekarang ini senang nak jadi terkenal kalau ada usaha sikit.

“Sekarang ini ilmu sudah ditimba untuk sepanjang lapan minggu dan platform sudah ada. Sekarang masa untuk mereka merencanakan rentak dan menyusun strategi untuk tembus ke pasaran industri kita,” katanya.

Hargai pendatang baharu

Seperkara menarik mengenai Misha adalah dia sentiasa meraikan dan menyambut baik kehadiran penyanyi baharu.

Dapat dilihat di setiap muat naik Misha di Instagram apabila dia berkongsi dengan menyanyikan lagu penyanyi berkenaan.

“Saya sangat terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa saja, malah saya pernah berseloroh dengan Aina Abdul. Saya juga menyimpan angan-angan untuk menyanyikan lagu Amylea. Cuma, saya bernaung di bawah Sony Music. Segala perancangan berkenaan lagu, memang berada di tangan mereka.

“Jadi, mereka sudah aturkan tahun ini saya perlu ada single dan projek ini sudah berjalan. Nak cerita lebih, kena tunggu. Apa yang pasti, saya boleh bekerjasama dengan sesiapa saja. Mana lagu sedap saya akan nyanyi saja.

“Berkenaan kerjasama dengan artis baharu, saya suka meraikan pendatang baharu yang berbakat terutama seperti Aina Abdul, Khai Bahar dan beberapa lagi. Mereka ini pula dalam masa sama memang mengikuti perjalanan kerjaya saya. Jadi lebih senang nak bekerjasama dengan orang seperti ini.

AKIM turut menjadi juri Suara Viral.
AKIM turut menjadi juri Suara Viral.

“Apabila saling mengagumi, keserasian akan jadi lain. Memang looking forward untuk berkongsi pentas dan menyanyi bersama mereka. Mungkin lagu duet dengan mereka. Tapi ia berbalik kepada rezeki. Macam tempoh hari saya berpeluang berduet dengan Khai Bahar. Seronok,” katanya.

Mengenai kehidupan berkeluarga pula, Misha sentiasa menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT.

“Saya gembira dengan dua anak, Adam dan Idris, tapi tidak menolak seandainya dikurniakan cahaya mata lagi. Kalau ada rezeki sangat alu-alukan, cuma saya selalu berdoa datangkanlah kalau ada rezeki saya lagi untuk menimang cahaya mata dan menambah zuriat dalam keluarga kami ini, datanglah dalam keadaan yang saya juga gembira menikmati sembilan bulan proses kehamilan itu. Tak nak dalam kesibukan, tekanan emosi atau keadaan sekarang.

“Pendek kata dalam keadaan tepat yang akan menggembirakan semua orang dan saya. Nak jadi ibu dan menguruskan dua anak sedia ada dan kehamilan yang kita tak tahu lagi bagaimana keadaan datang dan ujian. Jadi saya selalu berdoa yang baik-baik. Jadi saya harap peminat doakan rezeki ini,” katanya.

BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat