Selain Pulau Pinang, pelbagai jenis makanan yang sedap dan menarik anda boleh cuba di Selangor. Setuju atau tidak?
Buat anda yang tidak tahu ingin ke mana hujung minggu ini, apa kata buat food hunting di sekitar Selangor terutama sekali yang berada di ibu kota. Jadi, kali ini kami ingin kongsikan day trip untuk food hunting di 3 sungai di Selangor dimana Sultan pernah jadikan sebagai pusat pentadbiran.
Untuk pengetahuan anda, terdapat 5 sungai utama di Selangor iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Sepang. Tidak mahu bercerita panjang tentang sejarah Kesultanan Selangor, kami bawakan anda 3 tempat makan untuk di cuba di Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang. Ayuh kita mulakan!
1. Warung Dimyati Roti Canai di sungai Selangor
Kita mulakan hari kita dengan nikmati roti canai pelangi di Warung Dimyati Roti Canai yang terletak di Kampung Sungai Yu 1, Kuala Selangor. Terdapat 4 variasi warna dan perisa yang boleh anda pilih iaitu durian (kuning), epal (hijau), strawberi (merah) dan keladi (biru).
Dengar sahaja sudah rasa teruja, belum lagi makan. Setiap pagi, pastinya kedai ini akan dipenuhi dengan penduduk kampung dan juga pelancong yang datang hanya untuk merasai roti canai viral ini. Warung ini beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari, kecuali hari Jumaat dan dijual pada harga RM1 sekeping.
Selepas makan, anda boleh juga berkunjung ke Bukit Melawati. Bukit Melawati ini pernah ditakluki oleh Belanda dari tangan Sultan Ibrahim (Julai 1784). Setahun kemudian iaitu pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato’ Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang, telah menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja.
Anda juga dapat melihat keindahan dari atas bukit dan melihat kesan-kesan sejarah yang ada di Bukit Melawati.
2. Kedai Kari Kepala Ikan Tepi Sungai di sungai Klang
Selepas nikmati sarapan di Kuala Selangor, kita makan tengahari pula di Klang. Sentiasa menjadi tumpuan ramai, restoran ini terkenal dalam kalangan penduduk di Klang kerana hadir dengan hidangan nasi kandar yang sedap dan menyelerakan.
Untuk anda yang ingin nikmati kari kepala ikan yang segar dan sedap, sinilah tempat yang patut anda cuba! Memang terbaik, pastikan anda datang sebelum jam 2 petang, kerana takut habis. Paling syorkan anda cuba kari telur ikan memang terbaik cukup segala rempah karinya.
Untuk pengetahuan anda, kedai ini terletak di gerai makan Pekalan batu, Kawasan 1, 41100 Klang, Selangor dan dibuka setiap hari jam 11.45 pagi hingga 4.30 petang.
Sudah kenyang, bolehlah sertai Klang Heritage Walk pula untuk hadamkan makanan anda. Anda akan dapat berjalan-jalan sekitar Klang dan ketahui sejarah yang ada di Klang.
3. Terminal Ikan Bakar Pantai Morib di sungai Langat
Destinasi terakhir, anda bolehlah ke Kuala Langat untuk nikmati makan malam. Sebelum anda nikmati hidangan makan malam, anda boleh berjalan-jalan sekitar Kuala Langat atau ikuti tour Istana Bandar Walk. Apa yang menarik? Baca di sini.
Selepas habis sahaja tour, anda bolehlah terus ke pantai Morib untuk makan malam. Tak sah jika ke Morib tapi tidak makan makanan laut. Sudahlah fresh, makan sambil lihat matahari terbenam, memang terbaik!
Di Terminal Ikan Bakar Pantai Morib ini, terdapat pelbagai jenis makanan laut yang anda boleh cuba seperti ikan, udang, sotong, kerang dan banyak lagi. Secara jujur, kami dapat rasa ‘fresh’ ikan dan anda akan dapat rasa perbezaannya.
Sebelum terlupa, kedai ini dibuka setiap hari dari jam 6 petang hingga 11 malam sahaja. Jangan datang awal pula, nanti tak dapat makan!
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda untuk untuk food hunting dengan cara berbeza. Bolehlah ke 3 tempat makan ini pada hujung minggu ini dan jalan-jalan sekitar Selangor.