CYBERJAYA: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan mengarahkan bank menawarkan moratarium tanpa caj selama 3 bulan kepada peminjam institusi-institusi kewangan.
Menurut Ketua Pergerakannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki, pelaksanaan itu wajar dilakukan kerana Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima banyak permintaan dan maklum balas orang ramai agar bank-bank dan institusi kewangan dapat memberikan MORATORIUM sekurang-kurangnya 3 bulan.
“Sejak semalam kami Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima banyak permintaan dan maklum balas orang ramai agar bank-bank dan institusi kewangan dapat memberikan MORATORIUM sekurang-kurangnya 3 bulan mengambil kira PKP 3.0 yang diisytiharkan Kerajaan.
” Ramai yang mengadu susah dan makin tertekan dengan hambatan ekonomi yang kian meruncing lantaran pengurangan pendapatan yang mendadak akibat PKP yang menghadkan pergerakan dan membantutkan usaha memulihkan perniagaan masing-masing.” kata Asyraf di laman Facebooknya.
Tegas Asyraf, pada hakikatnya tiada satu bank ataupun institusi kewangan yang rugi jauh sekali muflis akibat penawaran moratorium waktu PKP kali pertama dilaksanakan dulu.
Justeru, Pemuda UMNO desak Kerajaan agar memanfaatkan ORDINAN DARURAT (KUASA-KUASA PERLU) 2021 sebagaimana yang telah dimasyhurkan untuk mengarahkan institusi kewangan memberikan MORATORIUM secara otomatik kepada kumpulan tertentu tanpa mengenakan sebarang caj tambahan ataupun keuntungan terakru.
“Apa guna PROKLAMASI DARURAT jika tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat? Apa guna ORDINAN DARURAT jika pihak-pihak tertentu dibiarkan mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat? Soalnya. -SuaraTV



