Parti lain juga terima dana politik, mengapa hanya Presiden Bersatu didakwa – Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mempertikai hujah pendakwaan bahawa parti Bersatu tidak mungkin menerima sumbangan dana politik sekiranya Presiden Bersatu bukan Perdana Menteri.

Menurut beliau, hujah ini terpakai kepada semua parti politik yang mana pemimpinnya pernah atau sedang menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri atau Menteri.

“Sekiranya ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang, mengapa hanya Presiden Bersatu yang didakwa sedangkan Presiden parti-parti lain terlepas? soal Marzuki.

Beliau berkata demikian merujuk laporan media semalam melibatkan keterangan seorang saksi pendakwa mengenai kemasukan wang berjumlah RM19.3 juta ke dalam akaun bank milik parti Bersatu.

Kata Marzuki, ini bukanlah suatu penemuan baharu.

“Semua sumbangan dana politik kepada parti Bersatu dimasukkan ke dalam akaun bank milik parti. Urusan keluar masuk wang dan segala butiran perbelanjaan direkodkan dan diuruskan mengikut prosedur perakaunan standard.

“Semua wang dan harta milik parti diaudit oleh juruaudit bertauliah dan laporan kewangan parti dibentangkan oleh Bendahari Agung dalam Perhimpunan Agung Tahunan parti setiap tahun.

“Laporan kewangan parti boleh dibaca oleh semua perwakilan yang hadir dan kemudiannya diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Apa yang dilakukan oleh Bersatu adalah selaras dengan syor pengurusan dana politik yang terkandung di dalam Laporan Program Transformasi Kerajaan 2.0. Ia adalah dokumen rasmi kerajaan.

“Jika parti Bersatu mempunyai niat untuk melakukan kesalahan undang-undang, wang ini tentunya tidak dimasukkan ke dalam akaun bank milik parti dan tidak akan diurus mengikut prosedur perakaunan standard,” jelas Marzuki lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat