Srikandi Muda BERSATU kekal utuh, fokus dekati Gen Z – Nurul Ezzati

KUALA LUMPUR, – Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan sayap itu kekal utuh dan tidak terkesan dengan sebarang percubaan yang boleh menggugat kestabilan parti, sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi serta mendekati generasi muda.

Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Ezzati Azmi berkata pihaknya menerima perkembangan terkini parti susulan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang berlangsung pada 10 Mac lalu.

Menurut beliau, Srikandi Muda merakamkan penghargaan terhadap usaha kepimpinan parti dalam memastikan proses penyusunan semula bahagian dapat dilaksanakan dengan teratur dan berjaya diselesaikan.

Katanya, usaha tersebut diterajui oleh Pemangku Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Faizal Azumu bersama Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Azmin Ali.

“Langkah ini merupakan usaha penting dalam memperkukuh struktur organisasi parti di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nurul Ezzati berkata, Srikandi Muda melihat proses penyusunan semula itu sebagai langkah pemerkasaan dan proses “rejuvenasi” parti yang amat diperlukan bagi memastikan BERSATU kekal relevan serta dinamik dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa perjuangan parti perlu diteruskan dengan semangat baharu dan segala yang berlaku sebelum ini harus dilihat sebagai proses mematangkan parti.

“Apa jua yang telah berlaku adalah sebahagian daripada proses mematangkan parti, dan kini masanya untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih fokus dan tekad,” katanya.

Tambah beliau, Srikandi Muda akan terus bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti di peringkat akar umbi selain mendekati rakyat khususnya generasi muda.

Menurutnya, sayap itu kini sedang merangka pelbagai inisiatif serta program untuk mendekati dan menyantuni anak muda, terutamanya golongan Generasi Z dalam tempoh terdekat.

“Pendekatan baharu yang lebih segar dan inklusif selari dengan aspirasi anak muda akan menjadi fokus utama gerak kerja kami,” katanya.

Beliau menegaskan Srikandi Muda BERSATU Malaysia kekal komited untuk memainkan peranan aktif dalam memperkukuh parti serta memastikan suara anak muda terus menjadi sebahagian penting dalam perjuangan BERSATU.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat