KUALA LUMPUR, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap tiga penyampai Era FM yang didakwa menghina agama Hindu, dengan alasan mereka telah menghadapi cukup kesukaran akibat kontroversi ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa MCMC telah mengenakan kompaun sebanyak RM250,000 terhadap Maestra Broadcasting Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan stesen radio tersebut.
Namun, menurutnya, penyampai radio berkenaan masih boleh dikenakan tindakan oleh agensi lain, termasuk polis dan majikan mereka, Astro.
“Saya juga telah maklumkan kepada mereka (penyampai radio) yang kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kepada mereka. They have gone through enough,” katanya kepada pemberita semasa majlis berbuka puasa di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
“Semua selesai (di pihak MCMC). (Berkenaan tindakan polis) itu saya tidak tahu kerana bukan bawah bidang kuasa saya. Tapi bagi pihak MCMC, semua selesai,” tambahnya lagi.