Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menjawab kritikan yang timbul di media sosial mengenai perbandingan jumlah denda yang dikenakan terhadap Maestra Broadcasting, syarikat yang mengendalikan Era FM, dengan hukuman ke atas pelawak Harith Iskander dan rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Menurut Fahmi, Harith Iskander didenda RM10,000 oleh MCMC kerana satu hantaran di Facebook yang dianggap menghina Islam, manakala KK Mart dikenakan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menjual stoking yang tertera kalimah Allah.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah denda terhadap Maestra Broadcasting lebih tinggi kerana ia merupakan sebuah syarikat besar dengan pendapatan tahunan yang tinggi, berbanding Harith yang bertindak sebagai individu.
“Berbeza dengan individu,” katanya, merujuk kepada situasi Harith yang hanya dikenakan denda sebagai orang perseorangan.
Fahmi turut menegaskan bahawa kes KK Mart adalah berbeza kerana ia tertakluk di bawah Kanun Keseksaan dan tidak melibatkan kandungan dalam talian atau pemegang lesen MCMC.
“Ada yang membuat perbandingan (antara kes ini) dengan kes KK Mart yang didenda RM60,000.
“(Kes KK Mart) di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang yang berbeza. Ia tidak melibatkan kandungan dalam talian atau pemegang lesen MCMC,”katanya lagi.