MCAG bentuk, latih sutradara baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Enggan generasi pelapis pengarah filem berdepan dengan nasib tiada platform mencurahkan ilmu yang dipelajari di sekolah perfileman, lalu tertubuhnya Pertubuhan Karya Sutradara Sinematik Malaysia atau MCAG.

MCAG diterajui oleh pelakon dan pengarah, Khir Rahman selaku presiden bakal menyediakan pelbagai platform untuk sutradara muda dalam usaha awal membentuk bakat yang terlatih.

Khir berkata, MCAG yang memasuki usia setahun penubuhan pada April depan sudah berjaya menganjurkan program Rahsia Sutradara – Be Your Own Director, tahun lalu bagi bertujuan mencungkil bakat pengarahan generasi muda.

Program lima siri itu dianjurkan MCAG bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuka peluang buat pengarah generasi baharu menimba ilmu daripada pengarah mentor dan hasilkan filem sendiri.

Selepas program mendapat sambutan menggalakkan MCAG bercadang menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan.

“Objektif penubuhan MCAG untuk menghimpunkan pengarah filem dalam satu pertubuhan. Kita tahu, sudah ada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), tetapi mereka menghimpunkan semua kelompok pengarah tidak mengira televisyen, iklan, filem dan dokumentari.”MCAG pula lebih spesifik kepada pengarahan filem sinematik. Kami ingin memfokuskan kepada filem dengan ilmu dan pengetahuan sinematik seperti dipelajari di pusat pengajian tinggi.

“Sebab itu, mereka yang ingin menyertai MCAG perlulah terdiri daripada graduan sekolah filem atau mereka yang pernah memiliki pengalaman menghasilkan filem, tidak kira filem pendek seperti di YouTube.

“Kami juga memberi peluang kepada orang luar yang benar-benar berminat menjadi pembikin filem bukan mengejar keuntungan semata-mata. Apa yang penting, minat diutamakan,” katanya kepada BH Online.

Dengan memiliki minat, katanya, lebih mudah untuk mereka bercakap dan berbincang mengenai hala tuju pertubuhan itu.

Buat masa ini, kata Khir, MCAG turut diterajui insan berpengalaman seperti Aziz M Osman, Nik Amir, Jason Chong, Azhari Zain dan Razaisyam Rashid, manakala mereka menerima lebih 50 ahli bersekutu pada peringkat permulaan.

“Antara hala tuju MCAG selain filem dibuat dalam bahasa filem, kami juga mahu pembikin filem terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai ilmu dan akademi.

“Budaya Melayu unik. Jadi, untuk menjadi ‘arkitek’, kita perlu memiliki sijil dalam bidang perfileman.

“Jadi, MCAG mahu perkara sama dipraktikkan dalam industri perfileman. Kami tidak mahu industri dipenuhi sanak-saudara dan entah sesiapa yang tiada kelayakan, sebaliknya penggiat seni yang berpelajaran.

“Seandainya ada pembikin filem diberi peluang untuk berada dalam filem dan memegang sebarang jawatan, sekurang-kurangnya kita ada wakil yang terpelajar,” katanya.

 

Khir enggan melancarkan MCAG terlalu awal kerana ingin ‘buat kerja’ terlebih dahulu, sebelum sibuk mencanangkan penubuhan. - Foto IG MCAG
Khir enggan melancarkan MCAG terlalu awal kerana ingin ‘buat kerja’ terlebih dahulu, sebelum sibuk mencanangkan penubuhan. – Foto IG MCAG

 

Khir berkata, dia tidak mahu pembikin filem yang memasuki industri perfileman menjadikan bidang ini sebagai tempat untuk mengaut keuntungan, sebaliknya ruang memperkasakan perfileman tempatan.

“MCAG bukan tempat menghasilkan filem komersil untuk duit semata-mata. Saya ingin jadikan pengalaman masa muda, di mana saya tiada tempat untuk dituju bagi mempraktikkan ilmu perfileman yang dipelajari.

“Ilmiah filem tiada siapa yang layan. Jadi untuk bertahan, saya terpaksa masuk dalam dunia arus perdana dan bidang showbiz. Rugi semangat saya belajar berkobar-kobar, tetapi tidak tahu ke mana perginya.

“Menerusi penganjuran program Rahsia Sutradara – Be Your Own Director, saya nampak bakat pelapis yang menyertai mempunyai semangat seperti zaman saya muda.

“Idea filem mereka sangat unik dan menarik. Ia bersesuaian untuk platform Over The Top (OTT),” kata Khir.

Selain Rahsia Sutradara – Be Your Own Director, MCAG juga bakal menganjurkan Young Film Maker yang terbuka untuk kanak-kanak sehingga bakat pelapis berusia 18 tahun.

“Untuk projek ini, MCAG dapat kerjasama daripada Yayasan Telekom Malaysia.

“Insya-Allah, MCAG bakal dirasmikan tidak lama lagi. Kami juga mempunyai satu usaha sama menarik yang bakal diumumkan pada majlis perasmian,” katanya.

Tambah Khir, mereka enggan melancarkan MCAG terlalu awal kerana ingin ‘buat kerja’ terlebih dahulu, sebelum sibuk mencanangkan mengenai penubuhan.

“MCAG mahu buat kerja dahulu. Apabila pertubuhan dilancarkan, orang luar nampak ia adalah satu pertubuhan bukan main-main.

“Kami juga akan mengumumkan dengan siapa yang bakal bekerjasama pada majlis perasmian.

“MCAG bakal memiliki platform sendiri, jadi penggiat filem mempunyai tempat menyalurkan kreativiti mereka.

“Namun, perkara ini juga akan diumumkan nanti,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat