Agong Terima Menghadap Bekas Perdana Menteri Jepun Di Istana Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Istana Negara hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pada pertemuan yang bermula pada 3.30 petang itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada Abe sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dijadual berlangsung esok.

“Seri Paduka menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Shinzo Abe atas penganugerahan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi daripada UIAM kepada beliau.

“Seri Paduka turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Shinzo Abe dan Kerajaan Jepun sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) Malaysia dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Turut hadir menyaksikan penganugerahan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Presiden UIAM Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengerusi Majlis Konvokesyen Prof Dr Ahmad Faris Ismail serta para pegawai Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur.

Ahmad Fadil berkata sesi menghadap hari ini merupakan pertemuan kedua Seri Paduka dengan Abe, selepas yang pertama ketika Al-Sultan Abdullah menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Okt 2019.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata lawatan khas Abe ke negara ini mencerminkan keakraban serta kerjasama erat dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Jepun.

“Pelaksanaan DPT selama empat dekad telah menghasilkan faedah besar terutama dalam aspek pembangunan modal insan serta perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara,” katanya.

Abe kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia bermula semalam sempena Ulang Tahun ke-40 DPT dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada tahun lepas dengan nilai dagangan dua hala RM149 bilion (USD36 bilion).

Sehingga September 2021, Jepun merupakan pelabur terbesar berdasarkan jumlah projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan nilai keseluruhan RM91.7 bilion (USD28.2 bilion). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat