1MDB: “Tun, perlu lakukan sesuatu kerana anda jadikan Najib PM” – Nazir beritahu Mahathir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Well Sir, you have to do something because you made him the Prime Minister (Tun, anda perlu melakukan sesuatu kerana anda yang menjadikan beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai Perdana Menteri,” kata Nazir, mengimbas kembali pertemuan beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekitar 2015, bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan pemilik The Edge Group, Datuk Tong Kooi Ong menemui Dr Mahathir di London yang tujuannya memaklumkan kepada bekas Perdana Menteri berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mengapa saya juga perlu melakukan sesuatu? Saya sudah bersara,” itu kata-kata yang terpacul dari mulut Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan dengan Nazir dan Tong.

Memetik Astro Awani, Nazir, dalam memoirnya, What’s in the Name mendedahkan, pertemuan itu bukan sesuatu yang mudah untuk beliau dan Tong, tetapi ia harus dilakukan demi mencari kebenaran tentang skandal 1MDB.

Ujar Nazir, beliau dan Tong, kedua-dua mereka mempunyai sejarah yang agak traumatik dan tegang dengan bekas Perdana Menteri itu.

Pengasas firma Ikhlas Capital itu berkata demikian dalam memoirnya bertajuk What’s in a Name dalam bab bertajuk Eh, We Have a Problem yang memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1MDB serta hubung kait dana itu dengan Najib.

Biografi setebal 358 muka surat itu memperincikan pengalaman Nazir dalam membangunkan CIMB sebagai institusi berperanan membawa ASEAN keluar dari Asian Financial Crisis.

Selain itu, terdapat juga bab-bab di mana Nazir berusaha menjunjung legasi ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak serta perkongsian tentang penubuhan 1MDB, yang akhirnya menyebabkan kejatuhan abangnya serta Barisan Nasional (BN).

Menyingkap kembali pertemuan itu, Nazir memulakan sesi itu dengan menyuarakan kebimbangan kepada Dr Mahathir bahawa beliau dan Tong percaya berbillion dolar telah diseleweng dari 1MDB.

“Tong sebenarnya yang banyak mendedahkan tentang apa yang kami ketahui tentang 1MDB. Dr Mahathir kelihatan mudah memahami situasi itu yang mana ia memeranjatkan mereka, selepas mengambil kira perincian dan penerangan Tong.

“Saya syak Dr Mahathir sebenarnya telah pun diberi taklimat mengenai 1MDB dan menggunakan pertemuan itu sebagai perbandingan terhadap apa yang beliau ketahui dan fahami,” katanya lagi.

Nazir berkata, semakin sesi perbincangan itu berlangsung semakin Dr Mahathir menunjukkan reaksi atau erti kata lainnya, kemarahan.

Untuk rekod, Nazir berkata, hubungan antara keluarganya dengan Dr Mahathir telah berdekad lamanya di mana ayahandanya, Abdul Razak telah menyelamatkan karier politik Dr Mahathir dengan membawa kembali beliau ke dalam UMNO.

Malah, kata Nazir lagi, Najib sendiri memainkan peranan besar untuk memastikan Dr Mahathir kekal berkuasa apabila memberi sokongan ketika pemilihan Presiden UMNO antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987.

“Mahathir, sebagai balasan, telah membuka ruang kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri, apabila beliau mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri pada 2003.

“Kempen Mahathir terhadap kepimpinan lemah Abdullah telah membuka ruang kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri. Dan Mahathir secara terbuka menyokong kepimpinan Najib pada pilihan raya umum 2013,” kata Nazir.

Nazir berkata, beliau dan Tong meninggalkan Rumah York itu tanpa mengetahui apa yang bakal terjadi.

Biarpun Dr Mahathir masih berpengaruh, tetapi tiada organisasi di sebalik pemimpin itu dan Nazir merasakan, apa sangat yang boleh dilakukan oleh individu berusia hampir 90 tahun.

“Tanpa disangka-sangka, selepas pertemuan di London, Mahathir telah mulakan ‘peperangan’,” katanya lagi.

Nazir turut mendedahkan, ia tidak mengambil masa yang lama sebelum Najib menghubungi dirinya dan bertanya motif sebenar beliau dan Tong berjumpa dengan Dr Mahathir di London.

“Saya tertanya-tanya, sama ada saya diekori, atau telefon saya dipasang peranti. Saya tidak sembunyikan topik perbincangan saya kerana tiada gunanya.

“Najib memberi amaran kepada saya untuk berhati-hati dengan motif Dr Mahathir. Selepas saya mendapat panggilan itu, saya menyedari perbuatan dan tingkah laku saya diperhatikan oleh abang saya,” katanya lagi.

Sementara itu, Nazir berkata, pasukan petugas khas pelbagai agensi mula menjejaki aliran wang dalam akaun berkaitan 1MDB dan akhirnya laporan itu menjadi penerangan paling komprehensif, tentang dana berbillion yang diraih 1MDB dari pasaran bon.

Beliau berkata, seseorang dalam pasukan itu, barangkali memutuskan cara terbaik untuk maklumat itu sampai ke pengetahuan awam ialah dengan membocorkan perinciannya kepada Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report.

Antara laporan yang diterbitkan, imbas Nazir lagi – ‘Investigators believe money flowed to Malaysian leader Najib’s accounts amid 1MDB Probe’ oleh WSJ.

“Pada satu pagi di Los Angeles, saya sedang bercuti bersama-sama keluarga saya. Saya mengambil senaskhah WSJ dan mata saya tertumpu ke arah kunci kata ‘Malaysia’, ‘Najib’ dan ‘1MDB’. Saya hampir terjatuh dari kerusi saya.

“Saya telah menjejaki 1MDB hampir enam tahun lamanya tetapi pada peringkat itu, saya masih terkejut dengan apa yang saya baca,” katanya lagi.

Artikel WSJ itu, imbas Nazir lagi, menjadi antara artikel yang paling mendapat perhatian dunia, dengan lebih suku juta pelawat unik.

Susulan artikel itu, Nazir berkata, ia telah mengakibat lebih banyak pendedahan dan artikel susulan yang turut diterbitkan WSJ.

“Dr Mahathir mendesak Najib untuk letak jawatan segera. Najib kemudian menggunakan Facebooknya, memberi amaran kesemua itu adalah plot pihak tertentu untuk menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi,” kata Nazir lagi.

Episod itu, kata Nazir, akhirnya menghantui beliau secara peribadi, memandangkan ia mempunyai hubung kait dengan darah dagingnya sendiri.

Ini merupakan antara siri pendedahan bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak berkenaan 1MDB dalam memoirnya What’s in a Name yang dilancarkan semalam (8 November).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,580FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat