SST bukan penyebab harga barang naik, kutipan cukai berkurangan selepas SST ganti GST – MoF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kutipan hasil cukai berasaskan penggunaan telah berkurangan selepas cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), selepas GST diperkenalkan pada April 2015, kutipan GST adalah sebanyak RM37.7 billion bagi tahun 2015; RM55.7 bilion (2016); RM60.5 bilion (2017); dan RM30.9 bilion (2018), iaitu sehingga Mei 2018 sahaja.

Selain itu, selepas SST dilaksanakan semula, kutipan SST adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi tahun 2018, iaitu dari September 2018 hingga Disember 2018; RM27.6 bilion (2019), RM25.2 bilion (2020); RM25.5 bilion (2021); RM31.3 bilion (2022); dan RM35.4 bilion (2023), katanya.

“Secara keseluruhan, kutipan GST bagi tempoh dari April 2015 hingga GST dimansuhkan pada Mei 2018 adalah berjumlah RM184.8 billion manakala jumlah kutipan SST pula adalah sebanyak RM150.4 bilion bagi tempoh dari September 2018 hingga akhir tahun 2023,” kata MoF dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.

MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai adakah hasil cukai dan rizab negara meningkat selepas SST diperkenalkan semula serta adakah SST antara penyebab utama kenaikan harga barang secara berterusan.

Menurut Kementerian Kewangan, jika dibandingkan jumlah kutipan hasil antara tempoh pelaksanaan GST dan SST, purata kutipan SST secara tahunan adalah 51.6 peratus lebih rendah daripada purata kutipan tahunan GST susulan skop kenaan SST adalah lebih kecil berbanding GST.

“Faktor utama jumlah kutipan SST menjadi lebih rendah adalah skop kenaan SST adalah lebih kecil iaitu meliputi 41 peratus daripada keseluruhan barang dan perkhidmatan dijual dalam pasaran berbanding 76 peratus daripada barang dan perkhidmatan dijual di bawah skop kenaan GST,” lapor Bernama.

Sementara itu, MoF berkata, pelaksanaan SST tidak boleh dianggap sebagai penyebab utama kenaikan harga barang secara berterusan kerana terdapat faktor lain seperti permintaan dan penawaran, harga komoditi global, harga barangan import serta kadar tukaran mata wang asing yang turut mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan oleh perniagaan.

“Terdapat juga peniaga dan penyedia perkhidmatan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dijual bagi meraih keuntungan berlebihan walaupun tidak terkesan dengan pengenaan SST,” kata MoF.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat