KLEBANG – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim menafikan dakwaan bahawa hak orang Melayu dan Islam terancam sepanjang empat tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran negara.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, tiada hak Melayu mahupun Islam yang terhakis, sebaliknya beberapa langkah telah dilaksanakan kerajaan bagi menjaga kepentingan golongan berkenaan.
“Saya nak tanya, empat tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, hak Melayu mana yang terancam? Hak Islam mana yang terhakis?” katanya ketika menyampaikan ceramah kelompok di Pintu Air Klebang.
Menurut Kamil, antara tindakan awal Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ialah mengembalikan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang didakwa pernah dibatalkan oleh pemimpin terdahulu.
Beliau turut membangkitkan bantuan kepada pesawah yang terkesan, termasuk langkah mendapatkan sumbangan daripada hartawan dan tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Katanya, Anwar telah meminta Syed Mokhtar mengeluarkan dana sebanyak RM50 juta bagi membantu pesawah yang berdepan kesan ekonomi.
“Panggil Tan Sri Syed Mokhtar, hartawan besar, dia kawal beras. Panggil Tan Sri Syed Mokhtar, kamu keluar duit kamu sekarang. Berapa puluh juta? RM50 juta, bagi pada pesawah-pesawah yang terkesan,” katanya.
Kamil kemudian membandingkan tindakan itu dengan amalan pemimpin terdahulu yang didakwanya turut bertemu golongan hartawan, namun wang yang diperoleh disalurkan ke akaun peribadi atau parti.
Beliau menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai satu bentuk penyelewengan dan menggunakan istilah “sakau” bagi menggambarkan dakwaan tersebut.
“Ada pemimpin sebelum daripada itu buat macam tu? Ada. Jumpa tauke besar, minta wang, masuk dalam akaun peribadi, masuk dalam akaun parti. Ha, itu berlaku. Sakau!” katanya.
Dalam ceramah sama, Kamil turut menyindir pihak yang tidak senang mendengar kritikan berkenaan, dengan mendakwa mereka berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kegiatan yang disebutnya.
“Sakit telinga. Ada orang sakit telinga dengar? Ada. Yang sakit telinga ni kerana mereka ini semua terpalit dengan kegiatan-kegiatan yang sebegini,” katanya.
Kenyataan itu dilontarkan ketika Kamil menggesa orang ramai menilai semula dakwaan mengenai ancaman terhadap hak Melayu dan Islam berdasarkan tindakan serta rekod pentadbiran kerajaan, bukan semata-mata retorik politik.



