Mesyuarat MT UMNO dan Wayang Jawa

- Advertisement -

Oleh: Dr. Muhammad Asri Mohd Ali

Apa yang diharapkan akan berlaku daripada keputusan yang dicapai oleh mesyuarat MT UMNO pada malam 7 Julai lalu? Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya berkata bahawa UMNO akan menarik sokongan yang diberikan sebelum ini kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri. Tetapi tidak pula disebut yang UMNO akan menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hanya pada hari esoknya, iaitu pada 8 Julai 2021 tampil beberapa kenyataan daripada pemipin UMNO menjelaskan bahawa mereka sebenarnya tidak menarik diri daripada PN. Antaranya oleh Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan UMNO hanya menarik sokongan terhadap Perdana Menteri sahaja, sementara sokongan kepada PN adalah kekal seperti biasa.

Tujuh alasan diberikan untuk menjelaskan kenapa keputuan itu diambil. Antaranya ialah kegagalan kerajaan ini gagal menguruskan pandemic Covid 19. Alasan ini agak pelik kepada rakyat kerana Menteri Kabinet yang diberi tugas utama memerangi Covid 19 terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Kementerian Pertahanan), Datuk Seri Dr Adham Baba (Kementerian Kesihatan) dan Khairil Jamaluddin (kementerian Sains dan Teknologi).

Pada petang 7 Julai 2021 , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Hishamuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan mengetuai kluster keselamatan. Perlantikkan ini menambah seorang lagi Menteri daripada UMNO bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik Covid 19.

Sekiranya Presiden UMNO menerusi kenyataan media selepas mesyuarat MT UMNO mengharapkan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin berkurang, ternyata dalam realitinya perkara itu tidak berlaku. Ini kerana Setiausaha Agong UMNO dalam kenyataan media beliau pada 8 Julai 2021 menyebut ahli-ahli parlimen UMNO bebas membuat pilihan sendiri ‘tetapi terikat dengan keputusan parti’ sekiranya pengundian dilakukan diparlimen yang bakal bersidang pada 26 Julai ini.

Ringkasnya, mesyuarat MT UMNO gagal mengambil kata putus dan membuat ketetapan supaya semua ahli-ahli parlimen UMNO menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Persoalan yang timbul kepada banyak orang dengan keputusan ini ialah apa sebenarnya telah berlaku kepada ‘pengaruh’ Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO?

Senario yang keputusan MT ini mengingatkan saya kepada pementasan wayang jawa yang popular di Selatan Perak, Selangor dan Johor pada suatu ketika dahulu sebelum adanya pawagam dan televisyen. Berbeza dengan wayang kulit, wayang jawa ada dua tok dalang, iaitu tok dalang tua dan tok dalang muda.

Wayang jawa dipertontonkan kepada masyarakat tani bagi tujuan hiburan dengan memasukkan unsur ‘hyper-reality’ seperti watak jahat dan adiwira supaya penonton dapat lupa seketika realiti sebenar dalam kehidupan harian yang rata-rata dibelenggu kemiskinan dan kesusahan.

Ia memberikan semacam satu perasaan ‘escapism’ kepada penonton dengan menimbulkan imej adiwira yang perkasa dan menghiburkan. Realiti kehidupan harian para penonton tentunya amat berbeza dengan ‘hyper-reality yang cuba digambarkan oleh tok dalam dalam pementasan wayang jawa tersebut.

Dalam sidang medianya, Datuk Seri Zahid cuba memberi gambaran bahawa dengan penarikan sokongan kepada Perdana Menteri, UMNO dapat menunjukkan dengan lebih tegas bahawa UMNO sebagai sebuah parti sangat serius dengan tuntutannya berkaitan kebajikan rakyat. UMNO mahu isu rakyat dan kemaslahatan negara menjadi perkara pokok yang tiada kompromi.

Tetapi jika itu yang UMNO mahukan, kenapa Presiden UMNO tidak membuat ketetapan supaya semua ahli-ahli parlimen daripada UMNO menarik diri daripada Perikatan Nasional?

Kenapa Presiden UMNO selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak meminta semua ahli-ahi parliamen menarik keluar daripada PN? Dan lebih utama, kenapa Presiden UMNO tidak meminta kesemua Meteri dan Timbalan-timbalan Menteri daripada UMNO dan BN meletakkan jawatan mereka daripada Kabinet?

Jelas bahawa kesemua itu tidak dapat dilakukan oleh Presiden UMNO kerana sudah kehilangan kepercayaan dan pengaruh daripada ahli-ahli parlimen UMNO dan BN kerana masalah peribadi yang diketahui oleh semua orang.

Oleh kerana itu, sidang media yang dilakukan oleh Presiden UMNO selepas mesyuarat MT tidak ubah seperti wayang jawa, yang menghiburkan para penonton buat seketika, tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku selepas daripada itu. Martabat MT tertinggi UMNO telah menjadi seperti alat hiburan.

Keyakinan rakyat kepada UMNO sudah pastinya amat sukar untuk diangkat kembali sekiranya Presiden dan MT UMNO terus bersikap seumpama ini. Perkara sebegini tidak pernah berlaku di sepanjang sejarah kewujudan parti keramat orang Melayu itu, hanya di zaman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi!

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Politik dan Pentadbiran Univerisiti Malaya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,599FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat